Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang kini menyandang jawatan Menteri Kewangan II, telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi, berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Anwar semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 25 Jun.
Menurut Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, tugas utama Datuk Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula inti pati naskhah Rancangan Malaysia ke-13.
“Beliau akan menyelaras kandungan Rancangan Malaysia ke-13 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025 dengan mengambil kira maklumat tambahan daripada kementerian serta pandangan dan ulasan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan media bertarikh 27 Jun.
Terdahulu, mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, mengumumkan peletakan jawatan Menteri Ekonomi berkuatkuasa 17 Jun.
Turut meletak jawatan ialah mantan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengumumkan menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam kepada Datuk Anwar, berkuat kuasa pada 4 Julai, dengan beliau kini sedang bercuti hingga 3 Julai.
Dua ahli kanan PKR itu dilaporkan membuat keputusan tersebut selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti sebelum ini.
Datuk Amir Hamzah merupakan tokoh korporat berpengalaman yang mula menyertai Kabinet sebagai Menteri Kewangan II pada Disember 2023.
Sebelum pembabitannya dalam politik, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari Mac 2021 hingga Disember 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg