Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar mahu 2 menteri letak jawatan kembali ke Kabinet

Beliau tegaskan dapat bekerjasama dengan kawan-kawan yang berbeza pendapat
Jun 13, 2025 | 1:25 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah); Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli (kiri) dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah); Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli (kiri) dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. - Foto NSTP

MELAKA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini, untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jika boleh beliau mahu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, kembali semula dalam pasukan Kabinetnya.

“Biar mereka berfikir... Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet). Surat (peletakan jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan) peletakan jawatan mereka,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan secara tertutup di Melaka pada 12 Jun malam.

Turut hadir dua Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R Ramanan; Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh; Ketua Wanita PKR, Cik Fadhlina Sidek; Ketua Pemuda PKR, Encik Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sebelum ini, Datuk Rafizi dan Nik Nazmi pada akhir Mei lalu menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan peringkat Pusat PKR yang berlangsung pada akhir Mei lalu.

Menerusi surat peletakan jawatan yang dihantar kepada Datuk Anwar, peletakan jawatan Datuk Rafizi akan berkuatkuasa 17 Jun ini, manakala Nik Nazmi pada 4 Julai. Kededua mereka kini sedang dalam tempoh bercuti.

Datuk Rafizi tewas di tangan mantan Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar, dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden, manakala Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Datuk Anwar dalam ucapannya pada program itu memohon supaya ahli parti kembali mempererat silaturahim sesama mereka, walaupun ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti baru-baru ini.

Beliau berkata semua pihak perlu berlapang dada dan melupakan perbezaan pendapat yang tercetus ketika pemilihan itu untuk agenda lebih besar parti.

“Bayangkan saya boleh bekerjasama dengan Umno, siap peluk-peluk. (Ahli parti) kena move on (lupakan yang lalu) untuk agenda lebih besar. Kalau saya boleh bekerjasama dengan Umno, takkanlah saya tak boleh bekerjasama dengan kawan-kawan yang berbeza pendapat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg