Dua menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peletakan jawatan daripada Kabinet pada 28 Mei.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, masing-masing melepaskan jawatan dalam Jemaah Menteri selepas gagal mempertahankan jawatan pada pemilihan pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Mei lalu.
Dalam kenyataan berasingan, Datuk Rafizi memaklumkan peletakan jawatannya itu berkuat kuasa 17 Jun, manakala Nik Nazmi berkuat kuasa pada 4 Julai. Kededua mereka kini menghabiskan cuti tahunan sehingga tamat tempoh perjawatan.
Peletakan jawatan itu bukan satu kejutan berikutan Datuk Rafizi sebelum ini telah menyatakan ‘janji’ untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya tewas pada pemilihan parti, manakala Nik Nazmi pula diketahui sebagai pemimpin yang sehaluan dengan Datuk Rafizi dan sejak awal telah diramal akan mengambil tindakan yang sama.
Pada pemilihan Pusat parti pemerintah kerajaan itu, Datuk Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang disandang sejak 2022, selepas pencabar tunggalnya, Cik Nurul Izzah Anwar, menang dalam pemilihan itu.
Nik Nazmi, yang juga Ahli Parlimen (AP) Setiawangsa (Kuala Lumpur), pula tewas dalam mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan sama.
Datuk Rafizi berkata peletakan jawatan itu dibuat berikutan kekalahannya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya.
Tidak lupa merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi, Datuk Rafizi berkata walaupun berat untuk mengambil keputusan meletak jawatan, beliau berpuas hati dapat menyelesaikan amanah terakhir sebagai Menteri Ekonomi dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” katanya.
Nik Nazmi pula berkata beliau sedar pelantikannya dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan bersandarkan kedudukannya ketika itu sebagai Naib Presiden PKR.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.
“Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa,” katanya.
Sementara itu Cik Nurul Izzah dalam kenyataan di Facebook berkata beliau menghormati Datuk Rafizi sebagai individu yang tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa, dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran.
“Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita, khususnya tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi. Saya menghormatinya.
“Banyak idea beliau yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya, tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg