Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AMK Johor: Bersatu sibuk berdrama kuasa, bukan jadi pembangkang membina

Oct 1, 2025 | 5:49 PM
Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Encik Faezuddin Mohd Puad.
Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Encik Faezuddin Mohd Puad. - Foto ihsan FAEZUDDIN MOHD PUAD

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin tenggelam dalam perbalahan dalaman sehingga gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina, kata Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Encik Faezuddin Mohd Puad.

Beliau berkata sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Kerajaan Madani berusaha memperkukuh ekonomi rakyat, memperluas bantuan kebajikan dan menstabilkan politik negara, Bersatu pula dilihat lebih sibuk dengan perebutan kuasa sesama sendiri.

“Tempoh hari rakyat disajikan dengan drama perbalahan antara pasukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin. Terbaru, pertelingkahan pula tercetus antara kem Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Bayangkan, berapa banyak perpecahan sedang berlaku dalam Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 September.

Menurutnya, apa yang berlaku menunjukkan wajah sebenar politik sempit yang langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat.

“Daripada tampil sebagai pembangkang yang membina, pemimpin Bersatu memilih untuk saling menuduh dan menjatuhkan antara satu sama lain,” tambahnya.

Encik Faezuddin menegaskan sebagai pembangkang Bersatu seharusnya berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan dengan mengemukakan idea bernas serta menawarkan dasar alternatif.

Namun apa yang berlaku hari ini, pembangkang tidak mempunyai hala tuju jelas.

“Apa yang ada hanyalah drama politik dalaman tanpa noktah. Kempen ‘Turun Anwar’ yang mereka gembar-gemburkan sudah tidak berjaya lagi dan mulai suram. Yang mendapat sambutan sekarang adalah kempen ‘Turun Muhyiddin’ dan ‘Turun Azmin’,” ujarnya sinis.

Beliau menambah, rakyat mengharapkan pembangkang yang matang, tetapi yang ditonjolkan Bersatu hanyalah perebutan kepentingan peribadi, jauh daripada agenda memperjuangkan kebajikan rakyat.

Terdahulu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata isu disiplin melibatkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful wajar dihadap kepada Lembaga Disiplin Bersatu berikutan pendedahan siasatan forensik video babitkan setiausaha agung parti itu, Datuk Mohamed Azmin.

Tambahnya, Badan Pimpinan Bersatu Johor juga menegaskan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin untuk terus memimpin parti serta Perikatan Nasional (PN).

“Isu dalaman mesti diselesaikan dengan berhemah melalui mesyuarat dan mekanisme rasmi parti.

“Membawa permasalahan ke ruang terbuka hanya mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan serta memberi peluang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan,” tegasnya.

Sebelum ini, Datuk Wan Saiful dilaporkan mendakwa Datuk Mohamed Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video tular yang didakwa membabitkan dirinya pada 2019 belum diselesaikan.

Klip video tular didakwa membabitkan Datuk Mohamed Azmin, yang ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, tersebar pada 2019, dipercayai diambil di hotel di Sandakan, Sabah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg