SHAH ALAM (Selangor): Pengasas dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, meluahkan rasa kecewa berhubung kejadian kekecohan yang berlaku semasa ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, pada 6 September malam.
Kejadian kekecohan itu berlaku apabila beberapa perwakilan yang hadir pada PAT itu melaungkan, “Turun Tan Sri”, ketika mantan Perdana Menteri itu membangkitkan mengenai tindakan segelintir ahli yang dikatakan mengutip tandatangan untuk menurunkan beliau daripada jawatannya itu.
“Katanya ada orang kutip tandatangan untuk jatuhkan presiden. Ini tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti,” kata Tan Sri Muhyiddin dalam ucapannya sebelum beberapa perwakilan melaungkan “Turun Tan Sri”.
Laungan itu kemudian membangkitkan kemarahan perwakilan lain yang bangun mempertahankan Tan Sri Muhyiddin dengan melaungkan “Hidup Tan Sri”, sehingga mencetuskan pergelutan dan kekecohan.
Jelas Tan Sri Muhyiddin dalam sidang media pada 7 September, kejadian yang berlaku adalah sesuatu yang menjejaskan nama baik parti itu, lapor Astro Awani.
“Saya tidak suka ulang hal yang tercetus semalam (6 September malam). Saya manusia, ada perasaan. Lebih-lebih lagi bila digelar sebagai ‘Abah’, saya tersentuh,” katanya sambil menekankan bahawa beliau tidak mengambil sebarang kredit atas perjuangan parti sejak awal penubuhannya.
Tan Sri Muhyiddin turut menjelaskan bahawa satu mesyuarat tertinggi luar biasa telah diadakan sejurus selepas kejadian itu bagi membincangkan perkara berkenaan dan memastikan ia tidak diputar belit oleh mana-mana pihak.
Mengulas lanjut, Tan Sri Muhyiddin memberi bayangan tindakan akan diambil terhadap perwakilan yang menimbulkan kekecohan itu.
Satu laporan polis turut dibuat Bersatu dan polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu, yang meletus pada PAT Bersatu ke-8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor, itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima satu laporan polis pada 12.18 tengah malam 7 September, oleh ketua keselamatan parti berkenaan.
Usai PAT itu juga, media Malaysia melaporkan kira-kira 120 Ketua Bahagian Bersatu telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menggesa Tan Sri Muhyiddin berundur.
Akuan itu juga mahu Tan Sri Muhyiddin menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Perkara itu disahkan Ketua Bahagian Bersatu Ampang (Selangor), Encik Mohd Isa Mohd Saidi, yang mengakui SD itu dibuat dengan mengambil kira kebimbangan kelangsungan parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang perlu diadakan sebelum Februari 2028.
Katanya, semua tandatangan telah dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin sebelum PAT.
Sebelum PAT pula, tersebar surat layang mendakwa Datuk Hamzah yang juga Ketua Pembangkang kononnya mahu menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin, namun dinafikannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg