Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kekecohan himpunan Bersatu bukti masalah dalaman parti

Muhyiddin disaran berundur, serah jawatan kepada Hamzah
Sep 9, 2025 | 2:22 PM
Malaysia, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu, Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainudin, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025, PAT
Presiden pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan), kini berdepan tekanan daripada ahli parti yang mahu beliau berundur dengan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri), antara calon dicadangkan untuk menggantikan tempat beliau. - Foto PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Isu akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani ketua-ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden parti itu masih belum reda.

Ini walaupun Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025 Bersatu sudah berakhir pada 7 September.

Kemelut yang menyebabkan kekecohan dan tercetus ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di Shah Alam, Selangor, pada 6 September, sekali gus menguatkan bayangan bahawa wujud pergolakan dalaman parti itu yang tidak lagi mampu disembunyikan.

Menurut seorang sumber yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, isu berkenaan hanya ‘diredakan’ sementara bagi memastikan PAT ke-8 Bersatu, berjalan lancar dan berakhir dengan tenang, seperti diminta Tan Sri Muhyiddin yang juga pengasas parti itu. 

Katanya seorang ahli MPT akan membawa SD yang ditandatangani 120 ketua bahagian Bersatu tersebut kepada Tan Sri Muhyiddin dalam satu pertemuan.

“Isu SD belum berakhir, usaha meredakan ketegangan dibuat bagi memastikan supaya PAT berakhir dalam suasana harmoni demi menjaga nama baik parti,” kata sumber Bersatu itu, lapor Malaysiakini.

PAT Bersatu yang diadakan pada 6 dan 7 September lalu kecoh apabila Tan Sri Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan perasmian pada 6 September mendakwa ada komplot mengumpul tandatangan termasuk SD bagi menjatuhkannya sebagai presiden.

Keadaan menjadi tegang apabila ada perwakilan melaungkan “Turun Tan Sri” sebagai reaksi terhadap ucapan Tan Sri Muhyiddin, sebelum laungan itu kemudian disambut kumpulan lain yang mempertahankannya dengan jeritan “Hidup Tan Sri”.

Pertembungan dua kumpulan perwakilan itu memaksa pasukan keselamatan yang bertugas meleraikan keadaan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, melihat persaingan antara Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin membawa kepada tuntutan presiden parti itu meletakkan jawatan dan mencetus kekecohan itu.

“Kekecohan itu adalah kemuncak desakan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk meletakkan jawatan dan mengesahkan memang ada pergolakan dalaman.

“Ia juga didorong kekalahan Perikatan Nasional (PN) di beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini dan kelemahan barisan pembangkang untuk berperanan agresif dalam politik Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Dr Mohammad Tawfik berpandangan Bersatu perlu segera mengumumkan pelan peralihan dan Tan Sri Muhyiddin perlu berjiwa besar mengundurkan diri jika mahu melihat parti itu terus relevan serta tidak runtuh akibat pergolakan dalaman yang tidak dibendung.

“Pelan peralihan tidak semestinya menamakan pengganti Tan Sri Muhyiddin, tetapi mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membolehkan pemilihan dibuat bagi jawatan Presiden,” katanya.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia pula melaporkan SD tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam Perlembagaan parti untuk menentukan mana-mana jawatan dalam Bersatu termasuk Presiden yang kini disandang Tan Sri Muhyiddin.

Dengan itu katanya bukan kedudukan Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden tidak tergugat, tetapi juga kekal sebagai calon Perdana Menteri bagi PN se­perti mana diputuskan pada PAT parti itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg