Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak mangsa nahas langgar lari di Batu Pahat persoal sebab pemandu SUV biarkan bapa parah dalam parit

Pekerja kilang meninggal dunia selepas patah kaki, cedera parah di kepala
May 12, 2025 | 7:19 PM
Gambar kenangan Allahyarham Hamzah Bujang, bersama isterinya, Cik Zaleha Mohamed. Foto kanan pula merupakan motosikal yang ditunggang Allahyarham Hamzah selepas kejadian di Jalan Muar-Batu Pahat, Parit Bajuri, pada 11 Mei.
Gambar kenangan Allahyarham Hamzah Bujang, bersama isterinya, Cik Zaleha Mohamed. Foto kanan pula merupakan motosikal yang ditunggang Allahyarham Hamzah selepas kejadian di Jalan Muar-Batu Pahat, Parit Bajuri, pada 11 Mei. - Foto ALIAS ABDUL RANI

BATU PAHAT: Lebih sejam berendam dalam parit dalam keadaan parah, sebelum akhirnya menemui ajal.

Itulah azab ditanggung seorang lelaki warga emas selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian langgar lari di Jalan Muar-Batu Pahat, Parit Bajuri, pada pagi 11 Mei, lapor laman Harian Metro.

Encik Hamzah Bujang, 61 tahun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) selepas kemalangan pada 6.30 pagi itu.

Menurut anaknya, Encik Mohamad Helmy Hamzah, 24 tahun, kejadian itu diketahui selepas beliau menerima panggilan daripada ibunya, Cik Zaleha Mohamed, 66 tahun, yang memaklumkan bapanya terbabit dalam kemalangan.

Encik Mohamad Helmy berkata pada hari kejadian, bapanya menunggang Yamaha LC135 untuk ke tempat kerjanya di sebuah kilang dekat Minyak Beku.

“Kebiasaannya, ayah keluar rumah setiap hari, 6.15 pagi, untuk ke tempat kerja. Saya dimaklumkan, motosikal ditunggang ayah dirempuh SUV dan pemandunya melarikan diri.

“Saya dapat tahu kemalangan itu pada 7 pagi, ketika itu ayah masih ada lagi. Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan ayah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, susulan kemalangan itu, beliau bersama ahli keluarga mahu berjumpa pemandu SUV di Balai Polis Batu Pahat, pada 13 Mei.

“Kalau boleh, kami nak sangat jumpa dia, kami cuma nak tanya kenapa tinggalkan ayah sedemikian? Kenapa dia tidak mahu bertanggungjawab (selepas melanggar) ayah?

“Salah ke tak salah sekurang-kurangnya tolonglah ayah, kenapa tinggalkan dalam keadaan kesakitan?

“Kalaulah ada bantuan awal daripadanya, ayah mungkin boleh diselamatkan kerana kemalangan berlaku awal pagi, jadi orang tidak perasan,” katanya sebak.

Katanya lagi, kemalangan itu hanya disedari seorang guru sebuah sekolah kebangsaan selepas melihat motosikal bapanya tersadai sebelum menghubungi ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang Encik Hamzah bertembung dengan SUV.

Katanya, Encik Hamzah parah di kepala dan patah kaki sebelum disahkan meninggal dunia, 7.58 pagi pada 11 Mei, manakala pemandu SUV berusia 46 tahun, cedera ringan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat serta rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg