KUALA LUMPUR: Pemandu pikap Nissan Navara yang disyaki terbabit dalam kes langgar lari sebelum Plaza Tol Duta, di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di sini, pada 10 Mei, sudah ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata suspek seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun direman dua hari, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, retak tulang selangka dan luka di buku lali manakala isterinya berusia 49 tahun cedera lebih serius.
“Wanita itu patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan otak akibat pelanggaran itu,” katanya dalam kenyataan pada 11 Mei.
Siasatan mendapati nahas berlaku pada 2.30 petang, membabitkan pikap berkenaan dengan motosikal mangsa.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, suspek cuba memotong sebuah motosikal lain, namun gagal mengelak motosikal mangsa lalu melanggar bahagian kanan motosikal berkenaan.
“Laporan polis pertama diterima pada hari sama, pada 6.55 petang dibuat pemandu pikap terbabit.
“Susulan siasatan, permohonan reman dibuat dan suspek kini ditahan selama dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.
Encik Mohd Zamzuri berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Terdahulu, tular di media sosial klip video selama seminit, memaparkan sebuah pikap melarikan diri selepas melanggar motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri berkenaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg