KUALA LUMPUR: Pemandu pikap Nissan Navara yang merempuh pasangan suami isteri yang sedang menunggang motosikal di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), pada 10 Mei, disahkan bukan pemilik kenderaan terbabit.
Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, dalam satu kenyataan ringkas, pada 12 Mei.
“Pemandu kenderaan dalam kejadian itu bukan pemilik kenderaan terbabit,” katanya tetapi tidak mengulas lanjut.
Encik Zamzuri berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat, selepas proses sambung reman suspek dijalankan pada 12 Mei.
“Hari ini dalam proses sambung reman dan seberapa segera akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tular sebelum ini dakwaan pikap itu sedang berlumba sebelum melanggar motosikal mangsa.
Bagaimanapun, Zamzuri berkata perkara itu masih dalam siasatan.
Mangsa wanita yang juga pembonceng motosikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dalam nahas kira-kira 2.30 petang itu, pikap Nissan Navara itu dirakam merempuh motosikal jenis Benelli TRK 502, yang ditunggang pasangan terbabit, dari arah kanan, menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.
Mangsa lelaki berusia 53 tahun retak tulang selangka dan luka di kaki, manakala isterinya, 49 tahun, mengalami pendarahan di kepala, patah tulang rusuk kanan serta buku lali.
Encik Zamzuri, pada 11 Mei, memaklumkan pemandu pikap tampil membuat laporan pada 6.55 petang pada 10 Mei, sebelum ditahan dan direman dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pemilik sebenar kenderaan turut tampil menjelaskan menerusi satu video bahawa beliau bukan individu yang memandu pikap berkenaan semasa kejadian, sebaliknya ia dipandu adiknya.
Beliau juga memohon orang ramai berhenti menyebarkan butiran peribadinya di media sosial sejak insiden berkenaan tular.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg