Seorang penunggang motosikal dan pemboncengnya diberkas selepas lelaki itu dipercayai gagal berhenti bagi pemeriksaan polis sebelum cuba melarikan diri pada 28 Jun.

Lelaki berusia 23 tahun itu diarahkan berhenti di Old Choa Chu Kang Road sekitar 8.30 malam oleh seorang pegawai Polis Trafik yang sedang membuat rondaan, menurut polis dalam kenyataan pada 29 Jun.

Namun, lelaki tersebut enggan berhenti dan sebaliknya memecut meninggalkan lokasi.

Pegawai polis kemudian mengejar motosikal itu.

Ketika dikejar, motosikal berkenaan terbabas di Choa Chu Kang Road menghala ke Bukit Batok Road.

Selepas kemalangan itu, penunggang tersebut meninggalkan kenderaannya dan cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis.

Lelaki itu dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

Suspek kemudian ditahan kerana memandu secara bahaya, memandu tanpa lesen memandu yang sah, serta memiliki harta secara tidak sah.

Lelaki itu turut membantu siasatan berhubung kesalahan gagal berhenti apabila diarahkan oleh pegawai polis serta memandu tanpa perlindungan insurans.

Pemboncengnya, seorang wanita berusia 22 tahun, turut diberkas kerana memiliki harta secara tidak sah.