Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak perempuan pengasas Al-Arqam nafi Global Ikhwan amal ajaran sesat

Oct 15, 2024 | 12:29 PM
Peguam Encik Rosli Kamaruddin (kanan) dan anak pengasas Al-Arqam yang juga ahli Global Ikhwan Service and Business (GISBH), Cik Khaulah Ashaari (tengah), dalam sidang media di Shah Alam, pada 14 Oktober.
Peguam Encik Rosli Kamaruddin (kanan) dan anak pengasas Al-Arqam yang juga ahli Global Ikhwan Service and Business (GISBH), Cik Khaulah Ashaari (tengah), dalam sidang media di Shah Alam, pada 14 Oktober. - Foto EPA-EFE

SHAH ALAM: Anak perempuan Allahyarham Ashaari Muhammad, iaitu pengasas pertubuhan Al-Arqam, menafikan dakwaan kumpulan perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengamalkan amalan bertentangan ajaran Islam.

Cik Khaulah Ashaari berkata ahli GISBH sudah bertaubat dan tidak lagi mengamalkan ajaran Al-Arqam – pertubuhan agama yang difatwakan sesat dan diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Bercakap pada sidang media, Cik Khaulah berkata Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Ali, juga sering mengingatkan kumpulan itu agar mengikut ajaran Islam sebenar dan tidak mengulangi amalan Al-Arqam.

“Memang GISBH konsisten untuk tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang dikatakan sesat,” kata Cik Khaulah, yang juga pengarah salah sebuah anak syarikat GISBH.

“Kita sentiasa mengikuti kursus pihak berkuasa termasuk jabatan agama dan kita mengikuti proses istitabah (bertaubat). Kita juga berkomitmen tidak mengamalkan apa-apa yang dilakukan sebelum ini iaitu pada zaman Al-Arqam,” katanya, lapor portal Free Malaysia Today.

Menurut Cik Khaulah, pihak berkuasa agama juga memantau operasi sekolah kendalian GISBH bagi memastikan sukatan pelajaran pendidikannya tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Mengulas video muzik tular di media sosial yang didakwa mempromosi dan mengagungkan Ashaari, Cik Khaulah berkata ia merupakan klip lama iaitu pada 2011 yang muncul kembali di Internet.

“Video berkenaan dibuat pada 2011, sebelum kami mengikuti kursus 500 jam (anjuran pihak berkuasa agama),” katanya.

Pada September, polis melakukan siri serbuan di sekurang-kurangnya 20 rumah amal di bawah kendalian GISBH dan menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, serangan seksual dan penderaan.

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan mengaku pernah menjadi mangsa salah laku seksual, liwat.

Siasatan polis turut merangkumi pelbagai salah laku lain termasuk penghambaan pekerja, pengubahan wang haram, selain terpalit dakwaan mengamalkan ajaran sesat Al-Arqam.

Sehingga kini, lebih 400 individu dikaitkan dengan kumpulan itu ditangkap, termasuk 58 individu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sebelum ini, GISBH menegaskan kumpulan itu telah membuang imej sebagai sayap perniagaan Al-Arqam dan kini meletakkan kedudukan mereka sebagai syarikat multinasional.

Bagaimanapun, risalah dan buku mempromosikan ajaran Ashaari itu ditemui ketika serbuan di beberapa premis GISBH.

Pada 1986, pihak berkuasa agama Malaysia menyuarakan kebimbangan berhubung buku tulisan Ashaari, yang mendakwa pertemuan secara nyata dengan Nabi Muhammad swt, membawa kepada langkah mengharamkan ajaran tersebut.

Ashaari membantah pengharaman berkenaan dan meninggalkan Malaysia, selain mencabar pihak berkuasa termasuk menerbitkan buku serta mempertahankan gerakannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg