Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Perak gesa perangi ajaran sesat hingga ke akar umbi

Oct 9, 2024 | 2:15 PM
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, berpandangan isu ajaran sesat harus ditangani hingga ke akar umbi kerana ia berkaitan akidah dan sebahagian besar pengikutnya mengikutinya di luar sedar.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, berpandangan isu ajaran sesat harus ditangani hingga ke akar umbi kerana ia berkaitan akidah dan sebahagian besar pengikutnya mengikutinya di luar sedar. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, mahu semua ajaran sesat yang bertapak di negeri itu, termasuk yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), ditangani hingga ke akar umbi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, selepas beliau menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan laporan mengenai kegiatan GISBH yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurut Datuk Saarani, Sultan Nazrin berpandangan isu ajaran sesat harus ditangani hingga ke akar umbi kerana ia berkaitan isu akidah dan, walaupun ada pengikutnya terdiri daripada kalangan mereka yang sedar, sebahagian besar daripada mereka mengikutinya di luar sedar.

“Insya-Allah kita akan buat yang terbaik kerana sebahagian besar daripada mereka yang mengikuti ajaran sesat itu adalah di luar sedar.

“Kita akan mengambil tindakan untuk memulihkan akidah mereka,” kata beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa  Agama Islam Perak, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Saarani juga mengatakan isu GISBH akan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk tindakan susulan.

“Selain MKI, Jabatan Mufti Negeri Perak dan JAIPk juga akan dipanggil untuk membantu dalam memastikan gerakan GISBH ini dapat dilumpuhkan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Encik Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi, memaklumkan bahawa mahkamah memerintahkan semua 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH diberi perlindungan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) bersedia membantu mangsa penindasan GISBH dengan memberikan nasihat guaman percuma.

Setiausaha Agungnya, Encik Danial Farhan Zainul Rijal, berkata bantuan itu akan disalurkan melalui pusat runding cara dan mediasi yang ditubuhkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sehingga akhir September, polis menerima 10 laporan daripada pekerja GISBH yang mendakwa tidak menerima sebarang bayaran gaji sepanjang bertugas di premis milik syarikat itu di serata Malaysia.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata siasatan ke atas laporan itu mendapati kejadian dari 2013 hingga tahun ini di Miri di Sarawak, Rawang di Selangor, dan Alor Setar, Kedah. Ia membabitkan mangsa berusia 14 hingga 20 tahun.

GISBH disiasat polis sejak September selepas ia didapati terlibat dalam kes penganiayaan, serangan seksual dan penderaan kanak-kanak, penghambaan pekerja, penipuan kutipan dana dan, lebih teruk, dipercayai masih mengamalkan ajaran sesat pertubuhan Al-Arqam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg