MELAKA: Mahkamah Tinggi Syariah Melaka membenarkan tiga anak lelaki bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, dilepaskan buat sementara dengan ikat jamin.
Keputusan dibuat Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin, selepas tempoh tahan reman ke atas tiga orang – berusia 38, 42 dan 45 tahun – yang disyaki itu tamat pada 10 Oktober.
Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Encik Atras Mohamad Zin, memohon ikat jamin baru RM3,000 ($913), atau dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh.
Peguam Syarie, Encik Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad, mewakili semua tertuduh, tidak membantah permohonan tersebut.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh dilepaskan buat sementara dengan ikat jamin seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 19 Disember.
Terdahulu, semua tertuduh hadir sendiri di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka pada sekitar 9 pagi bagi menghadapi pertuduhan.
Encik Atras yang dibantu timbalannya, Cik Norazita Mohd Ali, memberitahu mahkamah terdapat tujuh lagi tertuduh masih direman dan disiasat bagi kes yang sama oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
Sehubungan itu, katanya, pihaknya memohon pertuduhan terhadap ketiga-tiga anak lelaki Ashaari itu ditangguhkan kepada satu tarikh ditentukan mahkamah.
Penangguhan bagi membolehkan pendakwaan menentukan sama ada fakta siasatan dan semua 10 tertuduh akan dikenakan tuduhan secara bersama kelak mengikut Seksyen 63 dibaca bersama Seksyen 91 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, atas kesalahan menghina dan mempersendakan agama Islam serta percubaan melakukan kesalahan itu.
Beliau membuat permohonan itu mengikut peruntukan Seksyen 95 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Melaka 2002.
Media sebelum ini melaporkan 11 individu ditahan, manakala 34 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global yang dilaksanakan di tiga daerah di Melaka.
Sebanyak 19 premis dipercayai berkaitan GISB Holdings (GISBH) diserbu termasuk rumah amal pertubuhan, kedai bakeri, restoran, kedai langsir, pasar mini, kilang memproses kuetiau dan pejabat pengurusan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg