Topik diikuti
Pergi ke BHkuPersatuan sorot anak Suluk Bajau tidak bernegara sukar daftar sekolah di JB
Persatuan sorot anak Suluk Bajau tidak bernegara sukar daftar sekolah di JB
Persatuan Suluk Bajau Malaysia (PSBM) berhasrat untuk mengetengahkan kesukaran persekolahan yang dihadapi sesetengah kanak-kanak tidak bernegara dalam masyarakat berkenaan kepada kerajaan Johor.
Pengerusinya, Encik Mohamad Basaran, berkata terdapat keluarga yang menghadapi kesukaran mendaftarkan anak ke sekolah, dengan sebahagiannya diterima manakala yang lain tidak berjaya.
Menurut anggarannya, masyarakat Sabah di Johor Bahru berjumlah sekitar 30,000 orang, manakala kes berkaitan kewarganegaraan melibatkan kira-kira 10 peratus daripada masyarakat berkenaan.
“Kadang-kadang ada yang diterima, nasib-nasiblah.
“Kadang-kadang ada yang tidak diterima,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Beliau berkata PSBM bercadang membawa masalah tersebut kepada pihak berkaitan supaya kesukaran yang dihadapi keluarga terbabit dapat diberikan perhatian.
Selain mengetengahkan masalah masyarakat, persatuan yang bermula pada 2018 itu berperanan mengeratkan hubungan dan memelihara warisan Suluk serta Bajau.
PSBM mempunyai lebih 500 ahli dan didaftarkan sebagai pertubuhan peringkat kebangsaan, walaupun kegiatannya kini bertumpu di Pasir Gudang.
Encik Mohamad yang sudah menetap di Johor lebih 20 tahun berkata penubuhan persatuan turut didorong kebimbangan bahawa generasi muda yang membesar jauh daripada kampung asal, tidak lagi mengenali satu sama lain.
Jelasnya, sebahagian anggota masyarakat Suluk dan Bajau telah membina kehidupan di Johor, manakala anak-anak mereka pula lahir dan membesar di negeri itu.
“Saya takut nanti selepas ketiadaan saya ataupun kami, kebanyakan orang-orang, anak-anak suku kaum Bajau Suluk tidak kenal antara satu sama lain,” katanya.
Justeru, beliau berharap PSBM dapat menjadi wadah pertemuan generasi seterusnya untuk membina hubungan dan mengenali asal-usul mereka.
Persatuan itu juga bercadang memperluas kehadirannya ke negeri lain, dengan Kuantan, Pahang, dipertimbangkan sebagai lokasi cawangan kedua selepas Pasir Gudang.
“Setakat ini kita masih aktif di sini (Pasir Gudang) dan belum ada cawangan lain lagi di mana-mana negeri.
“Insya-Allah, cawangan kedua kemungkinan besar kita akan buka di Pahang,” katanya.
Dalam bidang kebudayaan, Encik Mohamad berkata persatuan merancang mengadakan malam kebudayaan, namun butiran pelaksanaan dan penglibatan pihak lain masih perlu dibincangkan.
Sementara itu, ahli jawatankuasa merangkap guru tari PSBM, Encik Rusham Muddasil, berkata program kebudayaan lebih besar sedang dirancang bagi memperkenalkan tarian, pakaian tradisional dan peralatan muzik masyarakat berkenaan.
“Kita fokus pada Suluk dan Bajau. Itu yang kita fokuskan,” katanya.
Antara unsur yang diketengahkan ialah kulintangan, gong dan tarian Suluk di atas tempayan.
Persembahan turut menampilkan alunan rentak Bajau dengan penari mengenakan pakaian tradisional etnik itu.
Encik Rusham berkata penyertaannya dalam program Minggu Perpaduan sebelum ini turut membuka ruang untuk memperkenalkan tarian Pangalay dan Igal-Igal kepada masyarakat pelbagai kaum.
Beliau menambah bahawa tarikh dan butiran program kebudayaan yang dirancang itu masih menunggu penyelarasan bersama kepimpinan persatuan.