Persatuan Anak Borneo Semenanjung mendakwa isu tambang penerbangan yang terlalu mahal setiap kali musim perayaan Kaamatan dan Hari Gawai masih membelenggu rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung.

Presidennya, Cik Gangging Ling Sanggau, berkata pihaknya mula menerima banyak aduan sejak awal Mei apabila harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak meningkat mendadak sehingga mencecah antara RM1,000 ($321) dengan RM1,500.

Menurut beliau, keadaan itu amat mengecewakan kerana isu berkenaan terus berulang setiap tahun tanpa penyelesaian berkesan.

“Saya mula perasan sekitar 5 Mei apabila ramai anak Sabah dan Sarawak mengadu tambang terlalu mahal sehingga susah untuk balik kampung.

“Biasanya kalau bukan musim perayaan, harga tiket pergi balik sekitar RM400 paling mahal.

“Tetapi bila musim Kaamatan dan Gawai, harga naik mendadak sehingga RM1,000 atau RM1,500,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Cik Gangging berkata kebanyakan masyarakat Sabah dan Sarawak di Semenanjung sebenarnya mahu pulang meraikan Kaamatan dan Gawai bersama keluarga, namun, kos perjalanan terlalu tinggi menjadi penghalang utama.

Jelasnya, ramai dalam kalangan mereka terdiri daripada pelajar dan pekerja swasta yang perlu merancang lebih awal sebelum membeli tiket penerbangan.

“Orang selalu kata kenapa tidak beli tiket awal, tetapi bukan semua mampu beli awal kerana mereka perlu kumpul duit dahulu.

“Ada juga pekerja swasta yang belum pasti cuti diluluskan, jadi mereka tidak berani terus beli tiket lebih awal,” katanya.

Beliau berkata aduan diterima bukan hanya membabitkan rakyat Sabah dan Sarawak di Johor, malah turut melibatkan mereka yang menetap di Lembah Klang serta beberapa negeri lain.

Menurutnya, dianggarkan kira-kira 45,000 anak Sabah dan Sarawak berada di Johor, manakala lebih 300,000 lagi berada di sekitar Lembah Klang sama ada bekerja atau melanjutkan pelajaran.

Cik Gangging berkata hanya sebahagian kecil yang benar-benar mampu membeli tiket untuk pulang ke kampung halaman setiap kali musim perayaan.

“Yang mampu balik biasanya mereka yang sempat beli tiket awal-awal. Tetapi ramai lagi yang tidak mampu kerana harga terlalu tinggi,” katanya.

Beliau berharap syarikat penerbangan dan Kementerian Pengangkutan dapat mempertimbangkan semula mekanisme penetapan harga tiket penerbangan ketika musim perayaan utama rakyat Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, langkah tertentu perlu diambil bagi memastikan rakyat dari kedua-dua negeri itu tidak terus terbeban setiap kali mahu pulang menyambut Kaamatan dan Hari Gawai bersama keluarga.

“Kita berharap syarikat penerbangan dan kementerian berkaitan dapat melihat isu ini secara serius kerana masalah ini berlaku setiap tahun dan masih tiada perubahan,” katanya.

Pesta Kaamatan secara amnya disambut pada 30 dan 31 Mei, manakala Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun setiap tahun, masing-masing adalah sebagai tanda berakhirnya musim menuai.

Kedua-dua perayaan itu adalah hari istimewa bagi masyarakat Kadazan Dusun di Sabah dan Dayak di Sarawak.