Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekian lama dihina kerana tak pernah bersekolah, 7 beradik M’sia akhirnya miliki kad pengenalan

Jan 3, 2026 | 9:42 PM
Tujuh beradik yang terdiri daripada (dari kiri) Cik Nur Hakikah, Encik Ahmad Shamil Ismail, Cik Nur Shakila, Encik Muhammad Zakaria, Cik Nur Hakimah, Encik Muhamamad Fazril dan Cik Nur Laila, akhirnya lega dan bersyukur kerana memiliki kad pengenalan bagi melancarkan urusan seharian.
Tujuh beradik yang terdiri daripada (dari kiri) Cik Nur Hakikah, Encik Ahmad Shamil Ismail, Cik Nur Shakila, Encik Muhammad Zakaria, Cik Nur Hakimah, Encik Muhamamad Fazril dan Cik Nur Laila, akhirnya lega dan bersyukur kerana memiliki kad pengenalan bagi melancarkan urusan seharian. - Foto BERNAMA

RAWANG: Penantian tujuh beradik untuk memiliki dokumen pengenalan diri berakhir apabila menerima kad pengenalan secara daftar lewat di kediaman mereka di Bandar Sungai Buaya pada 2 Januari.

Mereka yang berusia antara 17 dengan 30 tahun itu menerima kelulusan permohonan Daftar Lewat Sijil Kelahiran pada 8 Disember, diikuti kelulusan Daftar Lewat Kad Pengenalan pada 23 Disember 2025.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata pendaftaran lewat itu berpunca perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan, sekali gus menjejas urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri anak.

Bapa mereka berasal dari Sabah, manakala ibu mereka pula warga Indonesia.

Datuk Badrul Hisham berkata keadaan lebih rumit apabila bapa tujuh beradik itu meninggal dunia pada 2023, menyebabkan keperluan mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris terdekat seperti bapa saudara bagi tujuan pengesahan pertalian.

“Sebaik maklumat permohonan diterima, JPN meminta keluarga ini hadir ke pejabat untuk menjalankan semakan melalui Bahagian Kelahiran dan Kematian serta siasatan lanjut bagi mengesahkan pertalian anak dengan ibu bapa,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) selepas penyerahan dokumen pengenalan diri itu.

Badrul Hisham berkata siasatan termasuk ujian DNA membuktikan pertalian kekeluargaan selain perkahwinan ibu bapa turut didaftarkan semula dan disahkan mahkamah yang merupakan satu keperluan penting sebelum sijil kelahiran dapat dikeluarkan dengan taraf warganegara.

“Apabila semua keperluan dipenuhi, sijil kelahiran dapat dikeluarkan diikuti kad pengenalan,” katanya.

Tujuh beradik itu ialah Encik Ahmad Shahmil Ismail, 30 tahun, Encik Muhammad Fazril tahun, 29 tahun, Cik Nur Hakimah, 26 tahun, Cik Nur Hakikah, 24 tahun, Cik Nur Laila, 22 tahun, Cik Nur Shakila, 19 tahun, dan Encik Muhammad Zakaria, 17 tahun, dari Kampung Tanjung Sungai Choh.

Penting daftar perkahwinan

Dalam pada itu, Datuk Badrul Hisham menyeru warganegara Malaysia memastikan perkahwinan didaftarkan mengikut undang-undang yang bukan sekadar keperluan pentadbiran sebaliknya, perlindungan asas kepada hak anak pada masa hadapan.

“Setiap perkahwinan dan kelahiran wajib didaftarkan sama ada melibatkan warganegara atau bukan warganegara.

“Warga asing di Malaysia juga perlu memastikan kelahiran anak didaftarkan mengikut peraturan ditetapkan supaya isu ketiadaan dokumen pengenalan diri dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data JPN tahun lalu (2025), sebanyak 4,497 permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan diterima, manakala 9,528 permohonan melibatkan Daftar Lewat Kelahiran.

Beliau berkata JPN akan melipatgandakan usaha dan program turun padang ke lapangan pada tahun ini (2026) bagi mengesan serta menangani kes keciciran dokumen pengenalan diri.

Ketika ditemui, Cik Nur Hakikah berkata, kehidupan tanpa dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka adik-beradik tidak pernah bersekolah dan hanya menjalani kehidupan di kampung.

“Sejak kecil, kami tidak bersekolah sehingga pernah dihina. Ke mana pergi pun rasa takut sebab tidak ada surat beranak dan tiada kad pengenalan.

“Hidup terasa tidak normal, tak macam orang lain (memiliki MyKad),” katanya.

Menceritakan lanjut, anak keempat itu berkata proses mendapatkan dokumen pengenalan diri mereka dibantu beberapa pegawai serta sukarelawan melalui urusan di JPN serta memberikan bimbingan sehingga akhirnya berjaya memperoleh MyKad.

Kini, katanya, beliau berharap dengan memiliki dokumen pengenalan diri itu, dua adiknya yang masih remaja boleh belajar walaupun tidak pernah bersekolah selama ini.

“Saya mahu (adik) belajar apa yang patut saya belajar dulu. Walaupun tidak pernah bersekolah, masih belum terlambat. Ilmu ada di mana-mana,” katanya.

Cik Nur Shakila pula masih menyimpan impian dapat memulakan pengajian suatu hari nanti.

“Memang terasa macam dah lambat nak mulakan pendidikan asas, tetapi saya masih nak belajar.

“Saya pernah impikan cita-cita menjadi doktor, pembaca berita ataupun cef.

“Saya masih memikirkannya dan berharap dapat menceburi bidang yang saya mahukan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg