Topic followed successfully
Go to BHkuAnggota polis antara 6 disyaki terlibat kes samun bersenjata di KL
Anggota polis antara 6 disyaki terlibat kes samun bersenjata di KL
Anggota polis antara 6 disyaki terlibat kes samun bersenjata di KL
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis yang digantung tugas merupakan antara enam lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata.
Sasaran mereka ialah kediaman warga asing, mengakibatkan kerugian mencecah RM4.4 juta ($1.41 juta).
Kesemua suspek, berusia antara 31 dengan 51 tahun, diberkas dalam operasi pada 5 April.
Mereka dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjata dan menyamar sebagai polis di sekitar Kepong, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan tiga laporan polis diterima.
Mangsa ialah lelaki dan wanita warga China serta seorang wanita warga Indonesia, berusia dalam lingkungan 29 hingga 52 tahun.
Menurut Datuk Fadil, kejadian berlaku di kawasan Kepong, di mana ketiga-tiga rumah mangsa dipecah masuk oleh enam individu tidak dikenali antara 5.30 pagi dengan 7.30 pagi pada 5 April.
“Salah seorang suspek mengacukan objek menyerupai pistol kepada mangsa,” jelas beliau.
Modus operandi suspek ialah menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan samun, dengan menjadikan kediaman warga asing sebagai sasaran utama, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 8 April, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Fadil menambah, dalam ketiga-tiga kejadian itu, suspek melarikan tiga kenderaan mewah (Toyota Alphard, Rolls Royce, dan Bentley); satu peti besi; wang tunai RM24,200, AS$1,200 ($1,530); pelbagai barang kemas, serta dua jongkong emas.
Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur berjaya menahan tiga lelaki pada 8.45 malam 5 April.
“Hasil tangkapan pertama membawa kepada penahanan tiga lelaki berikutnya yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya.
Datuk Fadil turut memaklumkan, polis merampas dua pistol, lima kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit, dan dua pas keselamatan.
Antara yang ditahan ialah anggota polis yang telah digantung tugas dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
“Anggota polis berkenaan dan orang awam ini menyamar sebagai polis untuk melakukan samun bersenjata.
“Anggota polis itu bertindak sebagai penyelaras jenayah ini, manakala senjata pistol diperoleh kerana dua daripada yang ditahan mempunyai pengawal peribadi dan lesen senjata api,” terangnya.
“Semua suspek ditahan reman tujuh hari sejak tarikh penangkapan pada 5 April.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang positif dadah amphetamine,” kata beliau mengakhiri kenyataan.

