PUTRAJAYA: Semua penjawat awam yang disyaki terbabit kegiatan hubungan songsang susulan serbuan pihak berkuasa di sebuah pusat spa dan kesihatan di ibu negara pada 28 November lalu, berdepan tindakan hukuman buang kerja atau turun pangkat sekiranya disabit kesalahan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menegaskan Unit Integriti di setiap kementerian dan agensi masing-masing masih boleh meneruskan siasatan dalaman terhadap mana-mana pegawai awam yang disyaki terbabit dalam salah laku tidak bermoral.
Katanya, tindakan tegas itu boleh dikenakan sekiranya pegawai awam terbabit didapati bersalah di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], khususnya perenggan 4(2)(d) yang menetapkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh berkelakuan dengan sedemikian cara sehingga memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam.
“Kerajaan mempunyai garis panduan bagi menangani permasalahan berkaitan tatakelakuan dalam kalangan pegawai awam seperti Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan melalui peruntukan itu, pegawai boleh dikenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat sekiranya sabit kesalahan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan 201 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di ibu negara ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan hubungan songsang.
Daripada 201 yang ditahan, 17 adalah penjawat awam membabitkan doktor bedah, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir diplomatik, guru serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Bagaimanapun, 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pusat spa dan kesihatan itu dibebaskan dengan jaminan selepas permohonan reman ke atas mereka ditolak.
Mengulas lanjut, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memandang serius salah laku jenayah atau pelanggaran tatakelakuan membabitkan penjawat awam termasuk dalam kegiatan tidak bermoral atau ‘hubungan songsang’.
“JPA berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa seperti polis atau pihak berkuasa agama akan diserahkan sepenuhnya untuk dijalankan siasatan terperinci.
“Sebarang tingkah laku yang terbukti mencemarkan nama baik perkhidmatan awam adalah suatu pelanggaran integriti dan tatakelakuan yang serius,” katanya.
Beliau berkata insiden terbabit adalah kes terpencil dan tidak mencerminkan keperibadian majoriti penjawat awam.
Tegasnya, JPA bagaimanapun memandang serius kes terbabit dan akan memastikan perlakuan seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.
“Oleh itu, bagi mengukuhkan integriti dan memastikan kejadian sebegini tidak berulang, Ketua Jabatan diarah untuk memantau gaya hidup dan tingkah laku pegawai seliaan.
“Penerapan nilai murni melalui Unit Integriti di setiap Kementerian, Jabatan perlu dipergiatkan, termasuk saringan psikologi dan sahsiah secara berkala.
“Selain itu, ceramah atau kursus yang memberi fokus terhadap pembangunan sahsiah diri pegawai dan gaya hidup sihat disarankan untuk dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan,” katanya.
Tan Sri Wan Ahmad Dahlan berkata orang awam juga digalakkan untuk terus menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan sebarang salah laku penjawat awam melalui saluran rasmi Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) supaya tindakan pantas dapat diambil, katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg