Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggota polis didakwa bunuh teman di ladang kelapa sawit di Selangor

Jul 26, 2024 | 3:36 PM
Anggota polis Lans Koperal Muhammad Alif Monjani (memakai pelitup), 26 tahun, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.
Anggota polis Lans Koperal Muhammad Alif Monjani (memakai pelitup), 26 tahun, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit. - Foto BERNAMA

KUALA KUBU BHARU (Selangor): Seorang anggota polis Malaysia daripada Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bharu di sini pada 26 Julai atas tuduhan membunuh teman Nur Farah Kartini Abdullah, 25 tahun.

Tertuduh berusia 26 tahun itu didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Mukim Hulu Bernam, antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Kes bunuh itu mendapat liputan meluas di Malaysia selepas Nur Farah dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di ladang kelapa sawit di Hulu Selangor itu kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Ketika tuduhan dibacakan, Muhammad Alif hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurul Mardhiah Mohammed Redza, lapor Berita Harian Malaysia.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Harun dan Encik Muhammad Azri Zakaria, sementara peguam bela Aida Zainuddin dan Aida Md Jaafar mewakili tertuduh.

Terdahulu, Cik Ku Hayati memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya.

“Saya mohon tarikh sebutan seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telekomunikasi,” kata Cik Ku Hayati pada prosiding yang dipenuhi ahli keluarga tertuduh dan mangsa serta media.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan kes sementara menunggu penyerahan laporan forensik.

Sebelum prosiding bermula, seorang anggota polis memberi peringatan agar keluarga Muhammad Alif dan Cik Nur Farah Kartini mengawal emosi semasa prosiding kes berlangsung.

Ketika dibawa keluar dari mahkamah, seorang anggota keluarga tertuduh dilihat mengangkat tangan tanda memberi semangat kepada Muhammad Alif.

Keluarga tertuduh yang ditemui di perkarangan mahkamah, berkata mereka dinasihatkan untuk tidak memberi sebarang komen oleh peguam.

Sementara itu wakil keluarga mangsa, berkata mereka bersyukur dengan perkembangan kes dan berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan pihak polis.

Terdahulu, suspek tiba di perkarangan kompleks mahkamah di sini pada 9.04 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju T serta seluar hitam, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg