HULU SELANGOR: Polis percaya kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, adalah lokasi utama Allahyarhamha Nur Farah Kartini Abdullah, 25 tahun, dibunuh selepas beliau dilaporkan hilang pada 10 Jun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan mendapati suspek dan mangsa mengenali satu sama lain, namun pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan mereka.
“Kita percaya ia berlaku di sini (Kampung Sri Kledang) dan dilakukan suspek seorang. Daripada siasatan polis, kita tahu mereka kenal satu sama lain namun sejauh mana hubungan itu masih dalam siasatan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan, kita tak boleh komen lagi, keputusan terlalu awal,” kata Datuk Hussein ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian pada 17 Julai.
Pada masa yang sama penemuan bahan bukti berupa telefon bimbit, yang dipercayai milik Allahyarhamha, di kawasan parit dekat ladang kelapa sawit di situ, dijangka akan mempercepatkan siasatan polis.
Peranti itu ditemui anggota Unit Sub Akuatik Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 17 Julai, selepas satu jam menyelam.
Suspek pembunuhan itu, iaitu seorang pegawai polis berpangkat lans koperal yang berusia 26 tahun, turut dibawa ke tempat kejadian untuk proses pengecaman bahan bukti.
Usaha turut diteruskan polis untuk mencari bahan bukti lain di kawasan penemuan mayat mangsa.
Datuk Hussein berkata jenazah Allahyarhamha hanya boleh dituntut selepas pihaknya memperoleh keputusan contoh DNA (asid deoksiribonukleik) yang diambil daripada ahli keluarganya.
“Tidak (tuntut jenazah hari ini) kerana ia (keputusan ujian DNA) mungkin ambil masa beberapa hari,” katanya, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, setakat ini punca kematian bekas penuntut cemerlang Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu belum dapat disahkan berikutan beberapa bahagian tubuhnya sudah reput ketika ditemui.
Datuk Hussein berkata pakar patalogi Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal terhadap beberapa sampel biologi yang diambil daripada mayat untuk mengenal pasti punca kematian.
“Pakar belum dapat sahkan sebab kematiannya buat masa ini kerana mayat yang sudah reput terutama di bahagian dada serta muka. Selepas dapat keputusan analisis makmal, barulah pakar dapat putuskan punca kematian,” katanya.
Datuk Hussein turut mengesahkan sebuah kereta jenis Toyota milik suspek dirampas untuk siasatan lanjut.
Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan melangkaui polis sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi berkait kes itu, yang masih dalam proses siasatan.
Mayat Allahyarhamha dijumpai kira-kira 6 petang pada 15 Julai, selepas Allahyarhamha dilaporkan hilang sejak 10 Julai di Tanjung Malim, Perak.
Menyusuli itu, polis menahan suspek, yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim.
Suspek kini direman tujuh hari hingga 22 Julai bagi membantu siasatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg