ALOR SETAR (Kedah): Seorang anggota polis maut dirempuh kereta penjenayah ketika menjalankan tugas berhampiran Taman Golf di sini, petang 7 Ogos selepas cuba menghalang suspek kes pecah rumah daripada melarikan diri.
Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35 tahun, daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan yang dipandu suspek.
Ketua Polis Kedah, Pesuruhjaya Datuk Adzli Abu Shah, berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan mencurigakan di rumah terbabit.
“Lima anggota dari JSJ Kedah digerakkan ke lokasi dengan dua kenderaan dan sebaik tiba di situ, mereka mendapati suspek sedang cuba mencuri peti besi dari rumah berkenaan.
“Salah seorang suspek yang memandu Lexus bertindak melanggar mangsa yang baru keluar dari kenderaan. Mangsa dirempuh dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi pada 7 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Adzli berkata seorang daripada suspek berjaya ditahan di tempat kejadian manakala tiga lagi melarikan diri menggunakan kenderaan sama, yang mengalami kerosakan akibat pelanggaran itu.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka kemudian berjaya diberkas kurang sejam kemudian di kawasan Kepala Batas, Jitra.
“Dalam cubaan melarikan diri itu, kumpulan terbabit turut mencuri sebuah lagi kenderaan orang awam. Kesemua suspek, berusia antara 24 dengan 26 tahun, dipercayai berasal dari Johor,” katanya.
Modus operandi mereka tambah beliau menunjukkan ia kumpulan pecah rumah yang bergerak antara negeri.
“Kami sedang menyiasat sama ada serbuan ini dilakukan secara rambang atau berdasarkan maklumat dalaman.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan umpil dan kerosakan pada pintu rumah terbabit, namun tiada penghuni berada di rumah semasa kejadian,” katanya.
Koperal Mohd Hafizul yang berasal dari Setiu, Terengganu, meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara empat dengan 11 tahun.
“Beliau gugur ketika bertugas. Kehilangannya amat dirasai seluruh pasukan. Kita akan pastikan keadilan ditegakkan,” kata Datuk Adzli.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg