Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggota tentera M’sia meninggal selepas ditembak pemburu haram

Sep 24, 2024 | 2:01 PM
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata. - Foto BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera Malaysia yang dipercayai terkena tembakan rambang pemburu haram di Song, Sarawak, pada 23 September, disahkan meninggal dunia selepas kira-kira lima jam bertarung nyawa.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mangsa adalah anggota formasi Briged 9 Sibu yang merupakan sebahagian daripada Batalion Ke-13 Rejimen Renjer Diraja Sarawak.

Menurutnya, insiden berlaku ketika mangsa sedang menjalani Latihan Pasak Bumi (EPB) yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 29 September ini.

“Ketika kejadian, mangsa sedang melaksanakan latihan di kawasan am Song membabitkan kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song dan berkekuatan satu kompeni.

“Pada hari kedua latihan, kira-kira 2.45 pagi tadi ketika sedang berehat, platun terbabit mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap atau jalan balak berhampiran lokasi mereka berehat.

“Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan,” menurut kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.

TDM memaklumkan pemeriksaan perimeter dijalankan susulan bunyi tembakan itu dan mendapati mangsa cedera akibat tembakan berkenaan.

Katanya, mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada 4 pagi dan seterusnya dibawa ke Hospital Kapit kira-kira 5 pagi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 7.45 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kapit.

“Rancangan pengurusan jenazah akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai.

“TDM mengucapkan takziah kepada waris dan anggota keluarga yang terjejas, serta mendoakan semoga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” kata TDM.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, dilapor mengesahkan kejadian itu yang membabitkan mangsa berpangkat koperal berusia 28 tahun.

Beliau dipetik berkata kes itu masih dalam siasatan lanjut dan polis telah melancarkan gerakan memburu suspek.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg