Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera M’sia rampas 12 lembu seludup bernilai RM60,000

Sep 12, 2024 | 10:16 AM
Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) mematahkan usaha penyeludupan 12 ekor lembu bernilai RM60,000 di tebing Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand.
Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) mematahkan usaha penyeludupan 12 ekor lembu bernilai RM60,000 di tebing Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand. - Foto ihsan TDM

TANAH MERAH (Kelantan): Tentera Darat Malaysia (TDM) merampas 12 ekor lembu seludup bernilai RM60,000 ($18,074) di tebing Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand, di sini pada sekitar 1.15 tengah hari 11 September.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), rampasan berkenaan dilakukan di sektor kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

“Ketika kejadian, pasukan operasi yang bertugas mengesan tiga orang awam sedang melakukan aktiviti penyeludupan haiwan dengan membawa masuk kesemua lembu merentasi sungai cetek dari Thailand ke Malaysia.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek melarikan diri yang mana dua daripada mereka menyeberangi Sungai Golok ke Thailand, manakala seorang lagi memandu pacuan empat roda ke arah jalan utama dan meninggalkan kesemua lembu terbabit.

Anggota kemudian merampas kesemua haiwan ternakan berkenaan dan membuat laporan di Balai Polis Lalang Pepuyu, di sini,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 September, lapor Berita Harian Malaysia.

Haiwan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang, manakala kes penyeludupan ini akan disiasat pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga untuk tindakan selanjutnya.

Jelas kenyataan itu, berdasarkan kepada rekod, kes itu adalah rampasan haiwan ternakan yang kedua berlaku di KTJ 8 Bgd sepanjang September, selepas sembilan ekor kerbau dan seekor lembu dirampas pada 4 September lalu.

Kenyataan itu menambah, TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan atau penyeludupan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg