TANJUNG MALIM (Perak): Pasukan pertahanan Malaysia termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuklah berkaitan isu pertindihan tuntutan wilayah di kawasan Laut China Selatan oleh beberapa negara termasuk China.
Ia susulan kebocoran maklumat Nota Diplomatik dari China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China, bertarikh 18 Februari lalu yang sedang disiasat Kementerian Luar ketika ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata meskipun perkara itu masih dalam siasatan, kementeriannya perlu membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berhubung situasi tersebut.
“Surat itu belum ada kesahihan, tetapi memang kita tak nafikan ada tuntutan bertindih di kawasan Laut China Selatan...memang ada.
“Kita sentiasa perhatikan apa yang berlaku antara China dan Filipina dan kita tidak tolak kemungkinan kita perlu bersedia,” katanya, lapor Sinar Harian.
Pada 4 September, media tempatan melaporkan Kementerian Luar memaklumkan pihaknya sedang jalankan siasatan dalaman dan akan membuat laporan polis berhubung kebocoran Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Februari lepas.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata nota berkenaan diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos.
Kebocoran maklumat itu akan disiasat oleh pihak kementerian secara rapi memandangkan ia mengandungi maklumat kerahsiaan dan kedaulatan negara-negara.
Nota yang disiarkan oleh media Filipina itu menunjukkan dakwaan Beijing bahawa penerokaan minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan telah memasuki sempadan perairan China.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 September menegaskan Malaysia tidak akan menghentikan operasi meneroka kawasan yang berpotensi mempunyai minyak dan gas di Laut China Selatan, biarpun wujud bantahan daripada China kononnya Malaysia melepasi sempadan yang dibenarkan.
Beliau turut mempertahankan bahawa operasi berkenaan dilakukan di dalam kawasan perairan negara dan Malaysia tidak membuat sebarang provokasi.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan China bertegas hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) seluas 200 batu nautika yang dikongsi Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam adalah di bawah kedaulatannya.
Di bawah undang-undang antarabangsa, EEZ tidak menandakan kedaulatan sesebuah negara tetapi memberi hak kepada negara yang berkenaan untuk mengekstrak hasil bumi di dalam zon tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg