Keputusan mengalihkan sasaran pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura kepada pertengahan Februari 2027 menyediakan ruang masa tambahan bagi melengkapkan penilaian keselamatan terakhir dan kelulusan teknikal, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook.

Beliau menyifatkan perubahan tarikh operasi itu sebagai “bukan penangguhan”, kerana pembinaan projek masih mengikut jadual untuk disiapkan pada 31 Disember.

Bagaimanapun, beberapa minggu diperlukan selepas itu bagi penilaian terakhir oleh perunding keselamatan bebas serta mendapatkan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.

Encik Loke berkata operasi berpotensi dimulakan seawal Januari, namun Malaysia dan Singapura bersetuju menyediakan tempoh tambahan supaya semua proses dapat diselesaikan dengan teliti.

“Sebenarnya kita boleh mempercepatkannya seawal Januari, tetapi kita mahu ada sedikit ruang masa tambahan untuk memastikan semua proses berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena perasmian peluasan perkhidmatan BAS.MY Johor Bahru di JB Sentral pada 8 Oktober.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook (tengah), bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian peluasan BAS.MY Johor Bahru di JB Sentral pada 8 Oktober.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook (tengah), bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian peluasan BAS.MY Johor Bahru di JB Sentral pada 8 Oktober. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurutnya, tarikh tepat pembukaan RTS Link hanya akan diumumkan selepas kedua-dua pihak berkuasa memberikan kelulusan, namun beliau yakin perkhidmatan itu dapat dimulakan pada Februari.

Encik Loke berkata kerja fizikal stesen dan bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sudah siap.

Tumpuan sepanjang Oktober hingga Disember ialah pengujian dan pentauliahan bagi memastikan sistem persinyalan, tren, pengurusan penumpang serta CIQ berfungsi secara bersepadu.

Beliau menegaskan bahawa persediaan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa memandangkan perkhidmatan rentas sempadan itu dijangka digunakan ribuan penumpang setiap hari.

Sementara itu, peluasan BAS.MY Johor Bahru disasarkan mencapai 14.9 juta penumpang setahun, dengan penambahan 230 bas baru bagi memperkukuh pengangkutan awam menjelang operasi RTS Link.

Kekerapan laluan utama disasarkan antara 15 dengan 20 minit, berbanding 30 minit sebelum ini, bagi memudahkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Jalan Jim Quee akan dibangunkan sebagai hab bas yang akan mempunyai 20 petak bas yang baru, tambahan kepada 11 petak bas yang sedia ada.
Jalan Jim Quee akan dibangunkan sebagai hab bas yang akan mempunyai 20 petak bas yang baru, tambahan kepada 11 petak bas yang sedia ada. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Matlamat kita mudah, apabila penumpang turun dari stesen RTS, mereka mesti mempunyai pilihan pengangkutan awam yang mudah, cepat, selesa dan boleh dipercayai untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Encik Loke berkata kontrak selama lima tahun di bawah Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) 2.0 yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Selain penambahan bas, syaratnya merangkumi perkhidmatan ulang-alik dan pembangunan Jalan Jim Quee sebagai hab bas bersama kerajaan negeri.

Hab itu akan mempunyai 20 petak bas, dengan laluan pejalan kaki, jejantas dan tangga bergerak yang menghubungkan penumpang terus ke Stesen RTS Bukit Chagar.

Bagi langkah jangka sederhana, inisiatif bernilai RM60 juta ($18 juta) turut diluluskan untuk membina jejantas dan platform baru yang memendekkan perjalanan penumpang KTM menuju RTS.

Projek itu dijangka mengambil masa kira-kira setahun.

Ditanya mengenai peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan, Encik Loke berkata perkara itu tidak akan menjejas jadual RTS Link kerana kerja diteruskan oleh kontraktor, pasukan projek dan pengendali.

Beliau turut mengesahkan bahawa perkhidmatan Shuttle Tebrau akan ditamatkan enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi, selaras dengan perjanjian dua hala Malaysia-Singapura.