KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, menawarkan untuk mengundur diri sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan memberi bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, pengampunan bersyarat dengan menjalani baki hukumannya secara tahanan di rumah.

Encik Loke berkata beliau akan memberi surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu hanya melibatkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Tambahnya, keputusan berkenaan dicapai selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat dan membahaskan perkara itu selama hampir tiga jam pada 19 September.

“Pendirian DAP diterjemahkan melalui peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan. Saya akan mengemukakan surat kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP.

Menurut Encik Loke, barisan menteri dan timbalan menteri DAP turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan pada bila-bila masa.

Namun ujarnya, CEC memutuskan mereka perlu kekal dalam kerajaan buat masa ini untuk menjamin kestabilan politik negara dan mengelakkan pentadbiran Datuk Anwar kehilangan sokongan majoriti.

Beliau juga berkata DAP sedar terdapat pihak tertentu yang menunggu parti itu keluar daripada kerajaan sehingga boleh mencetuskan ketidakstabilan politik atau membawa kepada perubahan kerajaan.

“Kami amat sedar permainan politik pihak tertentu dan harapan mereka supaya DAP membuat keputusan yang membolehkan cita-cita politik mereka tercapai. Kami tidak akan memberi ruang kepada perkara itu,” katanya.

Mengulas keputusan tahanan rumah Encik Najib, Encik Loke berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan itu tidak boleh dipertikaikan.

Namun katanya, DAP berpandangan keputusan berkenaan sukar diterima kerana negara tidak mempunyai peruntukan undang-undang atau duluan membabitkan individu yang disabitkan atas kesalahan rasuah menjalani hukuman secara tahanan di rumah.

Menurutnya, DAP akan terus berpegang kepada perjuangan menegakkan kebenaran dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

Selain itu, Encik Loke berkata perancangan dan projek di bawah Kementerian Pengangkutan diteruskan seperti biasa dan tidak akan menjejas operasi kementerian susulan peletakan jawatannya.

Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata keputusan memberi pengampunan bersyarat kepada Encik Najib dengan menjalani baki hukumannya secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada 18 September.

Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta ($15.5 juta) dan pematuhan terhadap semua syarat yang ditetapkan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti