Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan.

Keputusan itu katanya dibuat atas dasar tanggungjawab, selepas gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan kekalahan parti itu di kubu kuatnya di Repah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.

Dalam masa sama, Encik Loke berkata DAP akan menentukan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Persidangan Kebangsaan parti itu yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.

Menurutnya, keputusan untuk melepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang dipegangnya selama 22 tahun sejak 2004 itu bukan atas paksaan mana-mana pihak, sebaliknya bagi mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan kerusi ditandingi DAP.

“Walaupun ramai yang telah menyatakan sokongan (untuk terus memimpin) dan DAP berjaya memenangi sembilan dari 11 kerusi, tetapi saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai untuk seorang pengerusi DAP negeri baru dilantik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Kuala Lumpur, pada malam 3 Ogos.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, Encik Loke gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah selepas tewas kepada calon BN dari Persatuan Cina Malaysia (MCA), Encik Siow Kong Choon, dengan majoriti tipis 688 undi.

DAP – antara komponen utama dalam Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Anwar, juga tewas kepada MCA di kerusi DUN Repah, apabila calonnya, Encik Veerapan Superamaniam kekurangan 444 undi kepada Encik Koh Kim Swee.

Bagaimanapun, Encik Loke menyifatkan secara keseluruhannya prestasi DAP dalam PRN Negeri Sembilan masih baik, apabila daripada 11 kerusi yang dimenangi PH, sembilan disumbangkan oleh DAP, manakala dua lagi dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Encik Loke yang juga Menteri Pengangkutan, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan pada minggu ini, untuk memilih calon penggantinya sebelum perletakan jawatannya berkuat kuasa.

Encik Loke juga mendakwa kempen fitnah dan serangan peribadi yang melampau terhadapnya merupakan antara punca utama kekalahan beliau di kerusi DUN Chennah yang dipegangnya sejak 2013.

Beliau menyifatkan kempen PRN Negeri Sembilan kali ini sebagai yang paling mencabar buat dirinya sejak 22 tahun berkecimpung dalam dunia politik.

Antara dakwaan yang dimainkan, katanya ialah kononnya beliau mahu merampas kuasa daripada institusi kepimpinan Melayu serta menjadi Menteri Besar untuk menguasai pentadbiran kerajaan negeri.

“Sepanjang 22 tahun, saya telah bertanding dalam pelbagai pilihan raya dan memenangi semuanya sebelum ini, tetapi kempen kali ini amat mencabar.

“Serangan sepanjang kempen tertumpu kepada saya. Banyak fitnah dan tuduhan tidak berasas yang mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan masyarakat Melayu dan penduduk kampung,” katanya.

Menjelaskan lanjut mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan yang akan ditentukan pada 16 Ogos ini, Encik Loke berkata satu usul akan dikemukakan kepada lebih 4,000 perwakilan dalam persidangan tersebut untuk menentukan sama ada DAP kekal dalam kerajaan atau tidak untuk tempoh Parlimen yang berbaki.

“Keputusan itu (kekal atau keluar) tidak dibuat oleh CEC, tetapi kita serahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk mengundi sama ada DAP harus kekal dalam kerajaan sampai akhir tempoh penggal Parlimen atau sebaliknya,” katanya.

Mengulas pendirian CEC mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan itu, Encik Loke berkata perkara itu memang ada dibahaskan, namun CEC tidak mahu membuat sebarang pendirian yang boleh mempengaruhi perwakilan.

“Perwakilan ada kebebasan mutlak untuk buat keputusan mereka sebab semua perwakilan akan dibekalkan kertas undi untuk buat keputusan secara kolektif sama ada kekal atau tidak, bukan kena angkat tangan,” katanya.

Encik Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata hala tuju parti itu akan ditentukan selepas Persidangan Kebangsaan DAP menerusi keputusan yang dibuat oleh para perwakilan.

“Selepas 16 Ogos nanti, pendirian parti akan menjadi lebih jelas, sama ada para perwakilan mahu kami terus berjuang dalam Kerajaan Perpaduan atau berada di luar kerajaan,” katanya.

Sebelum ini pada Februari lalu dalam satu temu bual dengan media Malaysia, Encik Loke berkata persidangan itu yang awalnya dijadual pada Julai sebelum ditangguh ke Ogos untuk memberi laluan kepada PRN, sebagai ‘referendum’ dalaman DAP.

Soal kedudukan DAP itu timbul selepas sebahagian penyokong berpendapat kerajaan belum memenuhi agenda reformasi yang dijanjikan, selain prestasi buruk DAP dalam beberapa siri pilihan raya termasuk PRN Sabah pada 2025.