Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnthony Loke teruskan tugas rasmi di China sebelum urus peletakan jawatan
Anthony Loke teruskan tugas rasmi di China sebelum urus peletakan jawatan
Selepas membuat pengumuman pada 19 September untuk melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke meneruskan program rasmi beliau di China seperti dijadualkan, sebelum menguruskan proses peletakan jawatan beliau sebaik pulang ke Malaysia.
Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia dalam satu kenyataan pada 21 September berkata Encik Loke akan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan pada Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) ke-12 di Beijing.
MOT berkata program tersebut turut melibatkan beberapa pertemuan dua hala serta pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MOU), termasuk MOU kerjasama pengangkutan antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Rakyat China yang merangkumi sektor darat, rel, maritim, penerbangan dan logistik.
Ia termasuk MOU kerjasama keselamatan penerbangan antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), merangkumi bidang seperti kelayakan udara, pensijilan badan penerbangan, pelesenan personel, pengawasan operasi serta pengiktirafan bersama dapatan dan sijil pematuhan.
“Selepas menyelesaikan program rasmi di Beijing, Yang Berhormat (YB) Menteri dijadualkan ke Shanghai untuk menyertai rombongan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara-perkara berkaitan proses peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan.
“MOT akan terus memastikan segala urusan dan tanggungjawab Kementerian dilaksanakan seperti biasa secara profesional dan teratur,” kata kenyataan itu.
Terdahulu pada 19 September lalu, Encik Loke yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Ia sebagai tindak balas parti itu terhadap keputusan tahanan rumah yang diperoleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, Encik Loke berkata peletakan jawatan itu tidak membabitkan Ahli Jemaah Menteri lain dari DAP, bagi memastikan ketidakstabilan politik dan risiko yang boleh menyebabkan Datuk Anwar hilang majoriti lalu memaksa pembubaran Parlimen.
Keputusan pengampunan Encik Najib itu dibuat pada mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, berkata Sultan Ibrahim bersetuju memberi pengampunan bersyarat yang membolehkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk melunaskan denda RM50 juta ($15.6 juta) yang telah dikenakan mahkamah terhadapnya.
Datuk Anwar dalam satu kenyataan dilaporkan berkata beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Encik Loke sebaik selesai menjalankan urusannya di Shanghai, menyusuli keputusan pemimpin DAP itu untuk meletakkan jawatan sebagai menteri.
