KUALA LUMPUR: Mantan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming memaklumkan meletak jawatan sebagai ahli parti Parti Tindakan Demokratik (DAP), bermula 31 Ogos.

Mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) itu berkata walaupun tidak lagi berperanan sebagai ahli politik, beliau akan kekal berkhidmat demi kepentingan negara dan bersama dengan orang yang mempunyai pemikiran dan minat yang sama.

Antaranya, beliau menyatakan komitmen untuk membantu mantan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang, seperti mana janjinya pada 10 Januari lalu.

“Encik Anthony Loke Siew Fook (Setiausaha Agung DAP), saya menulis untuk memaklumkan, saya meletak jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa hari ini, 31 Ogos 2026. Nombor keahlian saya ialah S04-1916-0142612.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara sejak saya menyertai parti pada 2012, sebagai Ahli Parlimen Serdang (2013 hingga 2018) dan Ahli Parlimen Bangi (2018 hingga 2022), Timbalan Menteri Miti (2018 hingga 2020), ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang dilantik (2019 hingga 2022) dan ahli jawatankuasa negeri DAP Selangor yang dipilih (2018 hingga 2024),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, pada 31 Ogos.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Encik Tony Pua kerana menjemput dirinya menyertai parti DAP serta memberi panduan mengenai cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu, lapor Berita Harian Malaysia.

“Saya juga berterima kasih kepada Encik Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang untuk dicalonkan bagi kerusi Parlimen Serdang dan Bangi dan sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP.

“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.

Beliau juga mengesahkan, tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat malah tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU16).

“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang sudah saya buat pada 10 Januari, untuk membantu Encik Khairy berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding.

“Saya akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk dalam podcast saya, Are We OK, melalui pelbagai jawatan penasihat saya dan bekerjasama dengan orang lain yang berfikiran sama dengan minat yang sama. Selamat Hari Merdeka,” katanya.