KUALA LUMPUR: Budaya pembunuhan karakter dalam kalangan ahli politik dan pemimpin di Malaysia yang menjadi kebimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, boleh dikekang menerusi penguatkuasaan Akta Hasutan 1948 (Akta 15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Akta Hasutan adalah antara undang-undang sedia ada yang boleh diguna pakai oleh pihak berkuasa Malaysia untuk pendakwaan terhadap kesalahan berkaitan pembunuhan karakter.
Beliau menjelaskan pembunuhan karakter merujuk kepada kesalahan merosakkan reputasi seseorang melalui penyebaran maklumat palsu, fitnah atau kritikan tidak berasas.
Menurutnya, fenomena itu sering berlaku di pelbagai wadah termasuk media tradisional, media sosial dan ruang perbincangan awam.
“Kewujudan platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram menjadi medan utama digunakan untuk pembunuhan karakter bagi kesalahan penyebaran maklumat palsu dan pelbagai kes fitnah melibatkan individu tertentu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Bukit Bintang (Kuala Lumpur), Encik Fong Kui Lun, yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian dan tindakan kerajaan terhadap titah Sultan Selangor berhubung pembunuhan karakter yang semakin berleluasa dan langkah pencegahannya.
“Untuk menangani isu tersebut terdapat beberapa undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk pendakwaan terhadap kesalahan berkaitan pembunuhan karakter.
“Antaranya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sebarang penerbitan atau ucapan yang boleh menghasut kebencian, ketegangan atau kekacauan dalam masyarakat,” katanya.
Menurut Datuk Anwar, ia melibatkan kesalahan yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum dengan institusi.
“Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Ia mengawal penerbitan bahan bercetak dan melibatkan kesalahan berkaitan dengan penyebaran maklumat palsu atau fitnah melalui media cetak.
“Pihak berkuasa boleh menggunakan akta ini untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat yang boleh membunuh karakter seseorang,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Anwar berkata Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) juga boleh digunakan bagi mengawal selia penggunaan teknologi komunikasi dan multimedia di Malaysia, termasuk media sosial.
Sultan Sharafuddin, ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 baru-baru ini, mengingatkan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memberikan tumpuan pada perkara penting demi masa hadapan negeri dan rakyat.
Beliau menyeru supaya Adun menghindari sebarang tindakan kurang sopan atau membesarkan perkara remeh dan bukan medan menabur fitnah, caci-mencaci dan berperangai tidak senonoh.
Mantan Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, adalah antara yang pernah didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan ucapan berbaur hasutan dengan mengaitkan karakter tertentu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg