Malaysia buat masa ini tidak memerlukan undang-undang baru seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum untuk memelihara hubungan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara itu.
Bagaimanapun Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata kerajaan sedia membuat semakan sekiranya keadaan mendesak dan wujud keperluan untuk mengekang sentimen perkauman yang memecahbelahkan masyarakat pada masa akan datang.
Menurut beliau ketika ini undang-undang sedia ada sudah mencukupi dalam memastikan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia terpelihara, maka tidak ada keperluan untuk mengikut langkah negara luar termasuk Singapura yang mempunyai Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA).
“Kementerian ini berpandangan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan satu undang-undang baru seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum buat masa ini dan memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa menerusi 10 peruntukan undang-undang untuk membendung perkara berkenaan.
“Ia termasuk melalui Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Namun sekiranya keadaan mendesak dan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula bagi tujuan mengekang sesetengah ucapan, kenyataan hate speech (ucapan kebencian) atau perbuatan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan sentimen perkauman, Kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penyokong kerajaan iaitu Ahli Parlimen (AP) Bagan (Pulau Pinang) dari Pakatan Harapan (PH), Encik Lim Guan Eng, sama ada Akta Anti Diskriminasi Kaum akan digubal untuk membendung gejala peristiwa perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu bersikap ekstremis serta rasis di Malaysia.
Dalam pada itu AP Tampin (Negeri Sembilan) dari Barisan Nasional (BN) yang turut menyokong kerajaan Perpaduan, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, menyifatkan Akta Anti Diskriminasi Kaum yang diminta oleh AP kerajaan itu tidak akan bermakna sekiranya ada pihak yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Mutakhir ini banyak isu-isu menyentuh sensitiviti umat Islam dan melaga-lagakan masyarakat berbeza kaum dan agama di Malaysia, hingga mencetuskan ketegangan dan rasa kebencian terhadap satu-satu pihak.
Ia termasuk kejadian terbaru yang tular di media sosial di mana seorang penjaja jagung dari Sepang, Selangor, meletakkan notis amaran enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti.
Bagaimanapun, penjaja tersebut telah membuat permohonan maaf kepada masyarakat India.
Sebelum ini, AP Raub (Pahang) dari PH, Encik Chow Yu Hui, turut mencadangkan Parlimen supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam, bagi memperkukuh perpaduan masyarakat.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak cadangan mewujudkan menteri agama bukan Islam dan menegaskan Menteri Perpaduan serta jawatankuasa harmoni yang mewakili semua kaum dan agama di Malaysia sudah memadai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg