GUA MUSANG (Kelantan): Mantan Perdana Menteri Malaysia yang juga pengerusi gabungan pembangkang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan, atas tuduhan menghasut dengan mempertikai kewibawaan mantan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kekata menghasut ketika berceramah pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, di Felda Perasu, Gua Musang, pada 14 Ogos.
Beliau, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri dalam prosiding pada 27 Ogos.
Menurut Harian Metro, berdasarkan tuduhan, Tan Sri Muhyiddin didakwa menyebut perkataan menghasut dengan mengeluarkan ayat: “Saya nak ceritakan mungkin orang Nenggiri ingatkah... saya waktu itu, sekali lagi diberikan sokongan, ada 115 Ahli Parlimen (AP) yang sokong saya.
“Ikut Perlembagaan kalau saya sebagai AP ada dapat sokongan 114, campur saya Muhyiddin Yassin ada satu Parlimen, jadi 115. Kerusi Parlimen 222. Kalau bahagi dua berapa? 111... kalau dapat lebih satu dia boleh bentuk kerajaan. Tapi saya dapat 115.
“Kalau ikut kiraan Perlembagaan, saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi Perdana Menteri. Ini bukan nak mengungkit tapi it’s a record of history (ia adalah rekod sejarah). Tapi entah macam mana Yang di-Pertuan Agong waktu itu tak jemput saya pergi Istana angkat sumpah.
“Siapa Yang di-Pertuan Agong dulu? Faham dah la eh? Kita tak nak cerita apa-apa buruk, tapi yang itu bagi saya agak luar biasa... tapi takpelah. Maka lepas tu terbentuklah Kerajaan Perpaduan... sekarang ni kita panggil kerajaan Madanon.”
Tan Sri Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Pendakwaan dilakukan oleh enam Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar.
Tan Sri Muhyiddin pula diwakili lima peguam termasuk Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 ($1,497) dan menolak permohonan pihak pendakwaan berhubung perintah larangan bersuara. Tarikh 4 November ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pemimpin berusia 77 tahun itu tiba di mahkamah pada 8.40 pagi dengan diiringi pimpinan pembangkang, termasuk Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, serta pimpinan parti yang lain.
Sebelum ini, ucapan ceramah AP Pagoh itu dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Abdullah ketika menjadi Agong, dalam hal pelantikan Perdana Menteri Ke-10 selepas Malaysia berdepan Parlimen tergantung usai Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg