KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa jika seseorang melanggar peraturan dan terlanjur kata, mereka perlu menghadapi implikasinya.
Beliau juga menjelaskan bahawa laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dibuat oleh Istana Pahang.
Datuk Anwar turut telah mengarahkan jemaah menterinya untuk menyerahkan perkara berkenaan kepada polis.
“Anda langgar peraturan, anda terlanjur, anda yang perlu hadapinya. Jangan gunakan ini sebagai (alat) politik.
“Laporan dibuat. Polis ambil laporan daripada Istana Pahang. Sebelumnya, dalam kes lain oleh Istana Selangor dan diambil tindakan oleh Peguam Negara,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian satu acara di Taman Desa, di sini pada 29 Ogos.
Terdahulu Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyuarakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin dan menyifatkan pendakwaan terhadap presiden parti itu sebagai bermotif politik, terpilih dan berniat jahat terhadap gabungan PN dan kepimpinannya.
Pada 27 Ogos, Tan Sri Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan menghasut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, berhubung ucapannya beberapa minggu sebelum itu di Felda Perasu, Kelantan, pada 14 Ogos lalu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Dalam ucapan berkenaan, Tan Sri Muhyiddin mendakwa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini tidak memanggilnya untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu walaupun selepas beliau mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen (AP).
Susulannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 30 laporan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).
Terdahulu, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Encik Fahmi Fadzil, berkata beberapa kes membabitkan ahli politik yang dihadapkan ke mahkamah berkaitan isu hasutan, bukan dibuat berdasarkan laporan wakil kerajaan, sebaliknya daripada wakil Istana.
“Kerajaan tidak masuk campur dalam hal ini, siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia dan pendakwaan dibuat berdasarkan siasatan terbabit,” katanya.
“Sama seperti kes hasutan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang mana laporan polis dibuat oleh wakil Istana Selangor.
“Dua kes hasutan ini membabitkan isu 3R dan laporan polis dari wakil Istana, tiada kaitan dengan kerajaan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg