Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah menimbulkan kemurkaan Istana Pahang apabila menyentuh mengenai kewibawaan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, dalam hal pelantikan Perdana Menteri ke-10, ketika berceramah pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.
Tan Sri Muhyiddin didakwa telah memanipulasi fakta dan menyentuh sensitiviti 3R (kaum, agama, raja) mengenai pelantikan Perdana Menteri yang dibuat Sultan Abdullah, ketika Malaysia berdepan Parlimen tergantung selepas tiada parti politik yang memenangi majoriti untuk membentuk kerajaan susuli Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menzahirkan kemurkaan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, amat terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikai tugas serta peranan ayahandanya, yang juga Sultan Pahang, ketika menjadi Agong.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Muhyiddin.
“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan beliau telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat berbahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” kata Tengku Hassanal dalam satu kenyataan.
Menyusuli itu, Istana Pahang turut membuat laporan polis menuntut tindakan sewajarnya diambil terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu. Sehingga kini polis mengesahkan menerima sekurang-kurangnya 28 laporan polis terhadap Tan Sri Muhyiddin berhubung isu itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya akan merakam keterangan Tan Sri Muhyiddin berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri pada 20 Ogos.
Jelas Tengku Hassanal, berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
“Sungguhpun begitu, Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri.
“Sultan Abdullah semasa itu telah memanggil pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan bermusyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketika itu,” katanya.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut meminta semua pihak menghormati Sultan Abdullah. “Tolong respek (hormat). Suami saya raja saya,” tulis beliau ketika membalas komen di media sosial.
Tan Sri Muhyiddin dalam ceramah itu berkata dirinya sudah mendapat 115 sokongan Ahli Parlimen (AP) selepas PRU15 yang membolehkannya diangkat sebagai Perdana Menteri.
Namun, menurutnya, beliau tidak dipanggil oleh Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg