Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar arah agensi pastikan gangguan di pintu masuk M’sia tidak berulang

Jan 13, 2026 | 1:51 PM
Anwar, e-gate, Johor
Ketua Pengarah, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. - Foto FACEBOOK AGENSI KAWALAN DAN PERLINDUNGAN SEMPADAN MALAYSIA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) agar memastikan kejadian gangguan teknikal sistem pintu masuk elektronik (e-gate) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor, pada 10 Januari, tidak berulang di semua pintu masuk negara.

Ketua Pengarahnya AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata arahan Perdana Menteri itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam mesyuarat koordinasi pada 12 Januari.

“Pagi tadi Yang Berhormat Menteri telah memanggil satu mesyuarat koordinasi sekali lagi dan beliau telah memberikan penekanan yang amat tinggi kerana ia juga membuatkan Perdana Menteri memberi arahan supaya perkara ini jangan berlaku lagi tambahan pula pada Tahun Melawat Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Lapor Diri Komander Pintu Masuk, di sini, pada 12 Januari.

Datuk Mohd Shuhaily yang turut meminta maaf bagi pihak AKPS kepada pengembara yang terjejas akibat kegagalan pintu automatik berkata, beliau secara peribadi memberi arahan kepada semua komander terutama BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) agar memantau keadaan sistem kemasukan di pintu masuk negara dan memaklumkan kepada ibu pejabat agar usaha penyelesaian masalah dapat segera dilaksana.

“Arahan yang sama juga sudah pun kita buat tadi supaya melihat indikasi bahawa jika sistem mempunyai permasalahan awal, walaupun belum tentu lagi sistem itu akan ‘breakdown’ (rosak) tetapi pasukan petugas perlu diaktifkan,” katanya lapor, Berita Harian Malaysia.

Beliau menambah, semua komander AKPS perlu bertindak segera bagi melancarkan proses keluar masuk pengembara di pintu masuk negara.

“Jika sistem sudah breakdown, anda perlu melakukannya secara manual. Jika tidak ada orang (di kaunter), mereka perlu mencari orang untuk penuhkan kaunter tersebut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan puluhan ribu warga asing terkandas dan beratur panjang di dua pintu masuk darat Malaysia dengan Singapura susulan gangguan teknikal yang menyebabkan kebanyakan pintu automatik imigresen tidak berfungsi pada 10 Januari.

Pada 11 Januari, gangguan sistem e-gate di BSI masih belum pulih, namun operasi kawalan sempadan kekal berjalan seperti biasa dengan implikasi terhad kepada pemegang pasport asing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg