PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyelar sikap segelintir pemimpin politik Malaysia yang suka memainkan sentimen perkauman dan agama untuk menarik perhatian umum.
Beliau menyifatkan mereka sebagai golongan dangkal dan muflis idea.
Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata golongan seperti itu turut mencerminkan sikap mereka yang berfikiran sempit dan berniat jahat untuk menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“(Golongan yang) menggunakan agama dan perkauman ini tidak terlepas daripada kalangan ahli politik, ahli perniagaan dan ahli akademik.
“Suara-suara tempang dan merosakkan bukan kerana kurangnya ilmu dan idea, tetapi kerana ketandusan prinsip akhlak serta dasar perjuangan yang luhur dan mulia.
“Pemahaman sempit… kalau dalam kalangan orang Melayu, mereka akan mudah tercabar contohnya kalau ada satu dua poster dalam bahasa Cina. Dalam kalangan orang Cina… rakyat Cina dinafikan hak dan tercabar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya, lapor Berita Harian Malaysia.
Justeru, Datuk Anwar berkata menjadi tugas anak muda negara itu untuk mendapatkan pencerahan secara kritis, kebenaran sesuatu kenyataan, mendengar daripada semua pihak dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
Menurut Datuk Anwar, perkara itu perlu diperbaiki dengan kasih sayang kerana Malaysia tidak seharusnya mempunyai orang yang lemah, rosak, rasuah atau melakukan kecurangan.
Dalam pada itu portal Buletin TV3 melaporkan Datuk Anwar sebagai berkata Malaysia dilihat sebagai negara aman di dunia termasuk aspek pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.
Jelasnya, perkara itu dizahirkan menerusi beberapa pemimpin susulan lawatan beliau ke beberapa negara luar baru-baru ini.
Katanya perbezaan warna kulit dan latar belakang agama menjadikan Malaysia sebagai negara yang rumit dijaga, namun semangat kesatuan berjaya memecahkan kebuntuan itu.
“Orang luar meneropong Malaysia, mereka cakap ini antara negara paling rumit dijaga, banyak ragam, pelbagai warna kulit, tapi ada semangat kesatuan dan aman.
“Dan ini juga rantau Malaysia dan Asean yang dianggap paling pantas kelajuan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg