Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Boleh kritik kerajaan tapi usah sentuh isu kaum, agama dan raja

May 21, 2024 | 2:31 PM
Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau dan kerajaannya bersedia menerima sebarang kritikan, namun tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sensitiviti isu raja, agama dan kaum (3R, iaitu ruler, religion and race).

Ketika ditemu bual penyampai Al Jazeera, Encik Sami Zeidan, dalam program Talk To Al Jazeera pada 19 Mei, Datuk Anwar berkata dalam melaksanakan kebebasan media beliau tidak akan membenarkan tindakan yang boleh mencetuskan rusuhan atau membahayakan keselamatan awam.

“Tidak kisahlah sama ada kita diturunkan (kedudukan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia), tetapi apa yang penting ialah kritikan dibenarkan… isunya ialah apabila anda menyentuh isu 3R, mengutuk kaum, agama, mengajak dan menghasut melakukan rusuhan, kita tidak boleh ada perkara itu dalam negara kita,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau mengulas laporan mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia yang turun secara ketara 34 anak tangga daripada tangga 73 ke 107 dalam setahun.

Namun Datuk Anwar berkata di bawah pentadbirannya, kerajaan Malaysia tidak pernah menahan sembarang wartawan atau mengharamkan sembarang surat khabar di negara ini kerana mengkritik kerajaan.

Mengenai dakwaan yang mengatakan pelibatan Yang di-Pertuan Agong dalam cadangan penubuhan kasino di Johor, misalnya, Datuk Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyentuh institusi raja Melayu.

Ini kerana katanya ia boleh memberikan kesan signifikan terhadap sentimen orang ramai, yang berpotensi mewujudkan keadaan tidak baik.

“Pertamanya, kerana ia suatu fitnah dan keduanya, anda menyentuh Perlembagaan (Persekutuan)… Ia secara faktanya salah… tidak ada sebarang cadangan untuk membuka kasino baru,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Anwar turut menafikan laporan bahawa kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan lesen bagi sebuah kasino untuk memulihkan Forest City di Johor.

Ketika ditanya tentang kritikan mengenai usaha reformasi ekonomi dan demokrasi kerajaan yang dilihat perlahan, selain penyiasatan kes rasuah berprofil tinggi sejak beliau memegang jawatan, Datuk Anwar berkata percubaan memperbetul perkara yang telah berlaku berdekad-dekad dalam tempoh satu setengah tahun memegang jawatan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kita telah melihat usaha yang sama sebelum ini, walaupun pada pengalaman Eropah Timur, di mana negara yang anda kenali, bersikap gung ho (terlalu ghairah atau bersemangat) mengenai reformasi pantas yang mendatangkan bencana kepada ekonomi dan persediaan politik.

“Dalam kes kami, bertentangan dengan penerapan atau dakwaan oleh pembangkang, perkara paling penting ialah tadbir urus.

“Apa yang kami berjaya lakukan ialah memeriksa penyalahgunaan (kuasa) oleh pemimpin, anggota Kabinet daripada membazirkan kekayaan melalui rundingan terus, melalui tender berjumlah berbilion-bilion. Kami sudah hentikannya,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg