Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura negara kelima paling sedikit rasuah di dunia

Transparency International: Paras rasuah bertambah baik dalam 28 pentadbiran saja, kian buruk di 34 negara dan wilayah
Jan 30, 2024 | 4:49 PM
Selain disenaraikan sebagai negara kelima paling sedikit rasuah di dunia, Singapura juga adalah negara Asia paling sedikit rasuah menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023.
Selain disenaraikan sebagai negara kelima paling sedikit rasuah di dunia, Singapura juga adalah negara Asia paling sedikit rasuah menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023. - Foto fail

Badan antirasuah antarabangsa Transparency International menyenaraikan Singapura sebagai negara kelima paling sedikit rasuah di dunia, dan negara di Asia yang paling sedikit rasuah.

Singapura memperoleh 83 daripada markah penuh 100 pada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023, dengan markah 0 paling rasuah dan 100 sangat bersih.

Republik ini memperoleh markah sama pada 2022.

Markah paling tinggi yang dicapai Singapura ialah 87 pada 2012, apabila cara kiraan itu dirombak oleh Transparency International.

CPI meninjau pakar serta ahli perniagaan, dan memberi markah kepada 180 negara dan wilayah pada skala 0 hingga 100 mengikut tahap tanggapan rasuah sektor awam mereka.

Denmark, yang memperoleh markah 90, menduduki tangga teratas indeks keseluruhan 2023 untuk mengekalkan kedudukannya bagi tahun keenam berturut-turut, diikuti oleh Finland (87), New Zealand (85) dan Norway (84).

Transparency International, yang mengeluarkan laporannya pada 30 Januari, berkata dua dalam tiga pentadbiran mendapat markah bawah 50 pada 2023.

Badan itu menyatakan bahawa paras rasuah bertambah baik dalam hanya 28 pentadbiran, dan bertambah buruk di 34 negara dan wilayah, walaupun terdapat kemajuan dalam usaha mengklasifikasikan rasuah sebagai jenayah dan menubuhkan institusi antirasuah khusus di seluruh dunia.

“Kemajuan terhad ini tidak mengejutkan, memandangkan kelemahan kronik sistem keadilan yang bertujuan mengesan, menyiasat, mendakwa dan mengadili kes rasuah,” ujar Transparency International.

Wilayah yang mendapat markah tertinggi ialah Eropah Barat dan Kesatuan Eropah, tetapi Transparency International menyatakan markah mata puratanya – 65 daripada 100 – berkurangan buat kali pertama dalam sedekad.

Dalam kalangan 31 negara yang dinilai di rantau itu, hanya enam mendapat markah lebih baik, manakala lapan menunjukkan penurunan.

Beberapa negara demokrasi tinggi, termasuk Sweden (82), Belanda (79), Iceland (72) dan Britain (71), merekodkan markah terendah mereka, dengan Britain mengalami penurunan enam markah keseluruhan berbanding lima tahun lalu.

Transparency International berkata “langkah antirasuah mantap di rantau itu terus terjejas oleh kelemahan semak dan imbang” dan “hakisan integriti politik menyumbang kepada berkurangannya kepercayaan awam terhadap keupayaan negara itu menangani cabaran berterusan di rantau tersebut”.

Lima wilayah teratas di rantau Asia Pasifik ialah New Zealand, Singapura, Australia (75), Hong Kong (75) dan Jepun (73).

“Selama lima tahun berturut-turut, purata markah CPI bagi rantau ini tidak berkembang daripada markah 45.

“Tidak banyak negara (di rantau Asia Pasifik) menunjukkan perubahan berterusan dan menunjukkan perubahan ketara dalam tahap rasuah,” tambah Transparency International.

Terdapat beberapa siasatan rasuah di Singapura pada 2023, termasuk kes membabitkan mantan menteri pengangkutan S Iswaran, yang ditangkap pada 11 Julai 2023.

Iswaran, yang telah meletak jawatan, dikenakan 27 tuduhan pada 18 Januari, termasuk dua tuduhan rasuah.

Penyelaras serantau Asia di Transparency International, Cik Urantsetseg Ulziikhuu, berkata sebarang kesan daripada kes Iswaran lebih berkemungkinan dapat dilihat pada jangka sederhana, bukannya jangka pendek.

“Kebebasan institusi, semak dan imbang institusi, dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, antara lain, akan menyumbang kepada tahap persepsi rasuah di Singapura, dan persepsi berubah secara perlahan dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Sambil menyatakan bahawa Singapura antara negara yang mempunyai markah tinggi, Cik Urantsetseg berkata: “Negara yang mempunyai markah tinggi tidak semestinya bebas rasuah.

“CPI memberi perhatian pada keupayaan pemerintah membendung rasuah dan menguatkuasakan mekanisme integriti berkesan dalam sektor awam, termasuk pendakwaan jenayah berkesan terhadap pegawai rasuah.”

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berkata situasi rasuah di Singapura masih terkawal.

Ia menambah bahawa di dalam negara, bilangan kes rasuah sektor awam kekal rendah secara konsisten dan tinjauan persepsi awam yang kerap dijalankannya menunjukkan keyakinan orang ramai kukuh terhadap usaha kawalan rasuah negara ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg