Ketika isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, hangat diperkatakan dengan pelbagai reaksi, Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencuri perhatian dengan berkongsi foto yang mengimbau pengalamannya ketika di penjara.

Dalam hantaran di Facebook dengan tanda pagar #throwback itu, Datuk Anwar memuat naik gambar beliau berada di sebalik penghadang kaca dan jeriji besi sambil memegang gagang telefon, dipercayai sedang berkomunikasi dengan ahli keluarganya yang melawat beliau di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Foto itu disertakan dengan tulisan ringkas “Kenangan di Sungai Buloh. Bertemu keluarga di sebalik kaca, hanya melalui telefon”.

Datuk Anwar berkata pengalaman dipenjarakan menjadi saat yang akan kekal dalam ingatannya.

“Detik yang kekal dalam ingatan”.

Perkongsian Datuk Anwar pada lewat malam 21 September itu mendapat 44,000 tanda suka di Facebook dan 6,700 komen serta 1,100 perkongsian setakat petang 22 September.

Antara komen yang menarik perhatian ditulis pengguna Facebook, Amirudin Abdul Majid: “Semua Allah swt berkuasa, menaik dan menurunkan… begitulah putaran kehidupan… saat paling rendah dan akhirnya alhamdulillah Allah juga berkuasa meninggikan.”

Penyanyi rap Malaysia, Caprice, pula menarik perhatian dengan angka 11 yang tertera pada meja di jeriji besi itu dan bertanya sama ada Datuk Anwar memberi mesej kiasan tersendiri.

“Tiba-tiba Datuk Anwar kongsi gambar di penjara. Anda nampak sesuatu? Saya nampak nombor 11.

“11 adalah nombor kegemaran (Encik) Najib, nombor rumah Najib. Siapa yang akan jadi Perdana Menteri ke-11 nanti? Ia adalah satu mesej. 11 juga nombor kegemaran saya,” komennya dalam video di media sosial.

Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, pernah dipenjarakan kali pertama pada 1999 atas kesalahan rasuah dan kali kedua pada 2015 atas tuduhan liwat.

Bagi kesalahan kedua, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan