Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar enggan libatkan PM Wong bagi PRN Johor
Anwar enggan libatkan PM Wong bagi PRN Johor
Syarikat S’pura diminta beri pelepasan pekerja M’sia pulang undi
Anwar enggan libatkan PM Wong bagi PRN Johor
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak bercadang mendapatkan bantuan rakan sejawatnya dari Singapura, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bagi memudahkan urusan kepulangan rakyat Malaysia yang bekerja di negara ini untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, 11 Julai ini.
Bagaimanapun, Datuk Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata syarikat di Singapura telah dimaklumkan supaya memberi kelonggaran dan memudahkan pekerja Malaysia, khususnya warga Johor, untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Beliau berkata meskipun hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta hubungan peribadinya dengan Encik Wong berada pada tahap yang baik, beliau tidak bercadang membangkitkan perkara itu di peringkat kerajaan.
Jelasnya, Malaysia berpegang dan menghormati prinsip tidak ada negara yang akan mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.
“Hubungan kita dengan Singapura sangat baik dan hubungan yang baik ini membantu membangunkan kededua negara. Hubungan peribadi saya dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong juga baik.
“Cuma saya juga tahu saya mewakili negara. Selalunya kita tidak minta mana-mana negara lain campur dalam urusan, termasuk pengundian dalam pilihan raya di negara kita.
“Cuma, kita ada maklumkan kepada syarikat-syarikat di Singapura untuk mempermudahkan warga Johor yang bekerja di sana pulang mengundi.
“Apa ertinya kalau dipersulitkan untuk mereka datang mengundi? Saya tidak bercadang untuk menghubungi Perdana Menteri Singapura dalam urusan pengundian atau pemilihan di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat pada 7 Julai.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen (AP) Hulu Langat dari PH, Encik Mohd Sany Hamzan.
Encik Mohd Sany bertanya mengenai kesediaan Datuk Anwar memanfaatkan hubungan baik dengan Encik Wong, supaya warga Malaysia khususnya Johor yang bekerja di Singapura mendapat pelepasan daripada kerajaan Singapura untuk pulang mengundi pada PRN Johor pada 11 Julai.
PRN Johor diadakan menyusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor.
Seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN Johor, dengan pengundian melibatkan lebih 2.7 juta pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengikut statistik SPR, daripada keseluruhan 2,727,926 pemilih berdaftar, seramai 2,703,175 adalah pengundi biasa, selain 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis bersama pasangan.
Pada PRN Johor ke-15 pada 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi.
Baki empat kerusi masing-masing tiga dimenangi Perikatan Nasional dan satu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
