Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Hukuman rotan harus dikembalikan, namun dengan syarat ketat

Oct 23, 2025 | 2:00 PM
rotan, sekolah, Anwar
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan beliau secara peribadi bersetuju dengan pengembalian hukuman rotan di sekolah, namun pelaksanaannya perlulah disertai dengan syarat ketat.

Beliau berkata ini termasuklah memastikan hukuman rotan itu tidak boleh dilakukan di hadapan umum.

“Pandangan peribadi saya, hukuman rotan harus dikembalikan, (Namun) bukan diberi kelonggaran sepenuhnya, rotan mungkin (dilakukan) di tangan.

“Saya pernah jadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan. Tapi di tangan, tentunya tidak teruk sangat, sehingga nampak seperti penderaan,” katanya menjawab soalan tambahan Anggota Parlimen (AP) Encik RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada 23 Oktober.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar mengakui ada pandangan daripada kumpulan hak asasi manusia yang merasakan tindakan rotan termasuk dalam kategori penderaan anak-anak dan beliau memahami kontroversi itu, namun ramai pendidik dan ibu bapa merasakan terdapat keperluan untuk melaksanakannya.

“Tetapi (kalau dikembalikan hukuman rotan) ada syarat yang ketat dan perlu ditugaskan guru-guru tertentu, (selain) dilakukan di bilik khas iaitu bilik disiplin serta ditetapkan berapa jumlah maksimum rotan.

“Ada beberapa peraturan, jadi saya fikir, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang. Kerana kenakalan anak adalah satu perkara biasa, namun jika melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya perlu ada hukuman. Tapi ini sekadar pandangan saya dan bukan dasar kerajaan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Tambah Datuk Anwar, perkara itu juga memerlukan libat urus semua pihak yang akan dikendalikan Menteri Pendidikan sebelum ia dimuktamadkan.

Menjawab soalan mengenai tuduhan yang dikenakan terhadap dua guru Sekolah Menengah jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian kerana didakwa merotan pelajar, Datuk Anwar berkata perkara itu sedang dalam tindakan mahkamah.

“Cuma saya ingin beritahu di sini, kebetulan daripada laporan diperoleh, salah seorang murid adalah anak autisme. Jadi kalau begitu, keadaannya mungkin agak berbeza… eloklah kita ikut fakta, saya tidak harus komen lebih daripada itu.

“Tapi kalau kes itu agak ringan, maka tentunya pihak pendakwa raya boleh menilai semula sama ada untuk meringankan tuduhan berkenaan,” katanya.

Berhubung larangan penggunaan telefon bimbit dan media sosial, Datuk Anwar berkata perkara itu mengundang banyak bantahan.

Tegasnya, kerajaan Malaysia bukan mengharamkan telefon bimbit, tetapi penggunaan media sosial di sekolah.

Beliau juga menambah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan langkah meletakkan kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menjamin keselamatan pelajar.

Datuk Anwar berkata langkah itu diambil selepas melihat kepada masalah buli, penderaan dan jenayah di sekolah yang semakin berleluasa.

“Bagaimanapun, kita akan memberikan panduan supaya polis memantau dan tidak menimbulkan keresahan kepada anak-anak. Kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan Majlis Pendidikan Negara bagi memperbaiki kelemahan dalam sistem pendidikan negara dan menyelaras pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg