PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya Islam tidak dijadikan alasan menghalalkan penyelewengan, rasuah dan penindasan, sehingga golongan miskin terus terpinggir.

Datuk Anwar menegaskan usaha menghidupkan kesedaran Islam perlu disertai perubahan dalam sistem negara.

“Jangan Islam itu menjadi topeng mengesahkan penyelewengan, rasuah dan penindasan, meminggirkan yang miskin,” katanya, lapor portal berita Free Malaysia Today.

Beliau berucap demikian pada Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya, pada malam 23 November.

Majlis itu berlangsung selama 10 hari sejak 13 November lalu, satu kesinambungan usaha Kerajaan Madani sejak 2024, untuk mendekatkan masyarakat kepada warisan Rasulullah saw melalui bimbingan para ulama.

Kali ini, ia turut membabitkan Menteri Wakaf Mesir, Al-Allamah Syeikh Usama al-Sayyid al-Azhari, dan Mufti Besar India Al-‘Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari.

Datuk Anwar turut berkata walaupun negara telah merdeka, kesan pemikiran penjajah tidak semestinya hilang sepenuhnya, menambah bahawa institusi pendidikan agama menjadi benteng penting dalam mempertahankan akidah dan akhlak umat Islam.

Ketika zaman penjajahan, katanya sistem politik, pentadbiran, pendidikan, bahasa dan budaya masyarakat turut terkesan akibat pengaruh kuasa asing.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Pada masa itu, satu-satunya benteng pertahanan kita yang kekal ialah madrasah, maahad, tahfiz dan pesantren yang bukan sahaja menanam dan mempertahankan akidah, akhlak serta sahsiah, malah roh perjuangan menentang penjajahan,” katanya.

Datuk Anwar juga menegaskan, kerajaan sejak tiga hingga empat tahun lalu berusaha menyalurkan dana tambahan bagi membaiki institusi pendidikan agama yang daif dan ketinggalan.

Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM200 juta ($48.56 juta) bagi membaik pulih sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar, selain memperluas skop bantuan untuk menampung kos operasi institusi terbabit.

Pada majlis itu, Datuk Anwar turut dianugerahkan Anugerah Ijazah Sanad Hadis Khas sebagai penghormatan ilmiah ulama antarabangsa terhadap sokongan beliau dalam perkembangan pengajian hadis bersanad di Malaysia.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh barisan ulama dan masyayikh musnidin (golongan ulama dan guru agama) antarabangsa yang diketuai Syeikh Abu Bakar.

Sementara itu Datuk Anwar berkata Malaysia dan Mesir akan terus memperkukuh hubungan dua hala melalui kerjasama erat terutama dalam bidang pendidikan dan pembangunan ummah.

Komitmen itu dinyatakan beliau selepas menerima kunjungan hormat Menteri Wakaf Mesir, Sheikh Dr Usama al-Sayyid al-Azhari di Putrajaya, semalam.

Ujar Datuk Anwar, pertemuan antara beliau dan Dr Usama memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan Mesir yang sekian lama terjalin berasaskan tradisi keilmuan, ukhuwah dan sikap saling menghormati.