Mantan Mufti Singapura, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, telah menyumbang luas, bukan sahaja kepada umat Islam Singapura, malah kepada pembangunan negara juga, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Semasa ditemui media di Masjid Sultan setelah menunaikan solat jenazah bagi Allahyarham Ustaz Syed Isa pada 7 Julai, Dr Faishal berkata tokoh dan pemimpin agama itu telah membantu masyarakat Islam membangun seiring dengan pembangunan negara, mengikut konteks Singapura.
Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang rendah hati walaupun berilmu luas, suka berinteraksi dan mendengar pandangan berbeza daripada orang lain selain memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekatinya bagi mendapatkan nasihat.
“Saya berasa untung dapat berinteraksi dengan Allahyarham apabila saya berkecimpung dalam arena masjid dan juga di Majlis Tertinggi Muis.
“Beliau memberikan kata dorongan dan nasihat yang bukan saja bernas, tetapi mendalam dan yang datang daripada hatinya.
“Beliau juga suka mendengar pandangan kami walaupun kami tidak mempunyai ilmu sedalam beliau. Allahyarham memberikan ruang bagi kami memberi pandangan,” kata Dr Faishal.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Masjid Darussalam dan ketika berinteraksi dengan Allahyarham semasa pembukaan masjid tersebut.
Dalam pertemuan itu, Dr Faishal berkata Allahyarham telah berkongsi bahawa wadah seperti masjid bukan sahaja penting dari segi agama, malah dari segi pembangunan masyarakat Singapura juga.
Beliau berkata: “Ini adalah satu aspek yang saya pelajari daripada beliau, yang telah mendorong saya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ahli LPM Masjid Darussalam.”
Meskipun Singapura telah kehilangan seorang tokoh agama yang mapan dan berpengalaman, Dr Faishal berkata prinsip kehidupan serta nilai yang diterapkan Allahyarham perlu terus dipelajari dan dicontohi.
Dr Faishal turut menggesa rakyat untuk meneruskan usaha membangunkan syariah Islam di Singapura sambil mengikut contoh Allahyarham dalam hidup, mengikut konteks berbilang bangsa dan agama demi pembangunan negara.
“Ini adalah satu aspek di mana kita sama-sama harus meneruskan usaha ini. Dan kita beruntung mempunyai asatizah dan ulama yang semakin dekat dengan masyarakat,” kata Dr Faishal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg