KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas mandat baru yang diterima untuk membentuk kerajaan Sabah.
“Kerajaan Madani menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas yang telah dilontarkan para pengundi di Sabah, bahawa mereka menuntut perubahan yang nyata setelah sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti sama ada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri.
“Dalam tiga tahun yang lalu, kami berusaha merungkai setiap isu yang diwarisi, termasuk soal tuntutan dan hak yang menyentuh kepentingan Sabah. Dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan yang nyata telah dicapai berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujar Datuk Anwar menerusi laman Facebook beliau pada 30 November.
Justeru katanya, kerajaan Madani akan terus konsisten di jalur pembaharuan ini untuk melahirkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal kedua di Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu, Sabah, pada 30 November.
Istiadat mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.
Majlis angkat sumpah itu diadakan selepas GRS meraih kemenangan dalam persaingan sengit Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pada 29 November.
Keputusan PRN Sabah menyaksikan GRS meraih kemenangan 29 kerusi daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Parti Warisan (Warisan) meraih 25 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) enam, Bebas (lima), UPKO (tiga), Star (dua), Pakatan Harapan (satu), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (satu) dan Perikatan Nasional (satu).
Datuk Hajiji berkata kemenangan itu adalah milik rakyat yang yakin dengan visi GRS serta menyokong usaha yang dijalankan.
“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya dalam GRS untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda.
“Sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan kita telah menjadi pemangkin kepada kemenangan ini,” kata Datuk Hajiji dalam satu kenyataan selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17.
Dalam pada itu, Datuk Hajiji turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk sama-sama meraikan kemenangan GRS dalam pilihan raya negeri kali ini, sebagai satu permulaan baru dipenuhi tekad untuk membina masa depan lebih baik.
Beliau turut menegaskan bahawa GRS komited untuk membina masyarakat bersatu-padu, serta memacu perubahan dan kemajuan melalui agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bersifat menyeluruh dan terangkum.
Beliau juga menegaskan semula komitmen GRS untuk memperjuangkan harapan dan aspirasi seluruh rakyat Sabah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg