Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Upko umum keluar Pakatan Harapan

Nov 11, 2025 | 5:15 PM
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick (duduk di tengah), ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Upko di Ibu Pejabat Upko Penampang.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick (duduk di tengah), ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Upko di Ibu Pejabat Upko Penampang. - Foto FACEBOOK EWON BENEDICK OFFICIAL MEDIA

KOTA KINABALU (Sabah): Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta, selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu sebulat suara menilai semula hala tuju perjuangan berteraskan semangat ‘Sabah First’.

Setiausaha Agung Upko, Datuk Nelson W Angang, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti jurang pendirian antara Upko dengan parti-parti komponen PH di peringkat Persekutuan, khususnya berhubung pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tuntutan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak serta pelaksanaan kebebasan pentadbiran PH Sabah.

“Sepanjang empat tahun bersama PH, Upko telah memperjuangkan agenda ‘Sabah First’ dalam perundingan manifesto pilihan raya dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Namun terdapat perbezaan tafsiran, pandangan dan pendirian antara Upko dengan parti komponen lain mengenai isu asas iaitu pelaksanaan hak 40 peratus serta kedudukan autonomi pentadbiran Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 November.

Beliau berkata Upko turut melahirkan sokongan penuh terhadap tindakan Presidennya, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara dalam prosiding semakan kehakiman hak 40 peratus Sabah yang difailkan Sabah Law Society.

Upko juga menjelaskan bahawa kepengerusian PH Sabah yang diputuskan melalui Mesyuarat Agung PH Negeri sebelum ini tidak pernah disahkan Majlis Presiden PH susulan bantahan PKR Sabah, selain persiapan pilihan raya di Sabah diputuskan tanpa kebebasan sebenar di peringkat negeri.

“Upko menyimpulkan bahawa hanya parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami denyut nadi, jiwa dan masa depan negeri ini.

“Oleh itu, Upko bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang komited memperjuangkan pelaksanaan sebenar MA63, termasuk hak hasil 40 peratus kepada Sabah,” katanya.

Upko menegaskan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah mesti berasaskan semangat, maksud dan pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam masa yang sama, dua Ahli Parlimen Upko, iaitu Datuk Ewon dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan dikekalkan sehingga penggal pentadbiran selesai.

Keputusan rasmi pengunduran Upko daripada PH akan dimaklumkan kepada Pengerusi PH dan semua parti komponennya.

Terdahulu, Presiden Upko, Datuk Ewon mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Dalam kenyataan ringkas, Datuk Ewon berkata surat berkenaan telah dikemukakan secara rasmi pada pagi 10 November..

Beliau turut memaklumkan bahawa bermula 11 November, beliau akan menghabiskan baki cuti yang masih ada.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg