Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar: Kerajaan N Sembilan perlu pendirian tegas tangani isu berkaitan institusi Raja Berperlembagaan
Anwar: Kerajaan N Sembilan perlu pendirian tegas tangani isu berkaitan institusi Raja Berperlembagaan
Anwar: Kerajaan N Sembilan perlu pendirian tegas tangani isu berkaitan institusi Raja Berperlembagaan
PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Besarnya perlu mengambil pendirian lebih tuntas serta tidak berdolak-dalik atau tunduk kepada tekanan politik dalam menangani polemik membabitkan institusi Raja Berperlembagaan di negeri itu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika ini tidak tergugat dan semua pihak perlu memastikan peraturan dan proses yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya.
“Saya harap Kerajaan negeri, Menteri Besar lebih tuntas pendirian, tidak berdolak-dalik dan tidak tunduk kepada tekanan-tekanan politik kerana ini soal Raja Berperlembagaan,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, di sini, pada 18 September.
Beliau mengulas perkembangan di Negeri Sembilan yang turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, termasuk kenyataan lengkap Peguam Negara berkaitan isu berkenaan.
Datuk Anwar berkata cadangan untuk menurunkan Raja bukan perkara kecil kerana sistem pemerintahan negara berteraskan Perlembagaan dan menjunjung sistem beraja, lapor Berita Harian Malaysia.
“Memang usul kata menurunkan Raja bukan perkara yang kecil. Kita dalam negara tertegak dengan sistem Perlembagaan, menjunjung sistem beraja dan kalau dipermudahkan, ia akan menimbulkan banyak masalah,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata pihaknya tidak menolak prinsip perundangan yang terpakai di Negeri Sembilan serta adat berkaitan sistem Yang di-Pertuan Besar dan Undang.
Sebaliknya, beliau menegaskan perkara lebih penting ketika ini ialah memastikan segala peraturan dipatuhi dan kaedah ditetapkan diikuti sepenuhnya.
“Yang penting bagi kita sekarang ini, kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak tergugat.
“Kita doakan ke hadrat Allah swt, mudah-mudahan Tuanku dapat bersemayam dan jalankan tugas dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Anwar mengingatkan semua pihak supaya mematuhi proses dan peraturan ditetapkan sekiranya terdapat sebarang usul daripada Undang atau pihak berkaitan.
Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.
Menurut kenyataan barisan Exco, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, pada Isnin (14 September).
Namun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, mendakwa tiada proses sah yang menyebabkan baginda terhenti memegang jawatan itu.
