Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemelut perebutan takhta Yang di-Pertuan Besar N. Sembilan kian meruncing
MB sahkan Exco sebulat suara putuskan Tuanku Muhriz turun takhta, namun kenyataan disangkal Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan
Kemelut perebutan takhta Yang di-Pertuan Besar N. Sembilan kian meruncing
Kemelut perebutan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus rumit apabila dua pihak bercanggah kenyataan mengenai keabsahan proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada kedudukan itu.
Dalam perkembangan terkini pada 17 September, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, mengesahkan bahawa proklamasi (pengisytiharan rasmi) bertarikh 19 April untuk menurunkan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan berkuatkuasa.
Beliau berkata proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sedang dalam proses untuk diwartakan.
“Pada hari ini saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi (penurunan takhta Tuanku Muhriz) memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan secara sebulat suara pada mesyuarat 15 Ogos lalu.
“Exco sudah pun meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) teruskan dengan proses pewartaan (proklamasi) mengikut peraturan-peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, Negeri Sembilan.
Datuk Ismail sebelum ini didakwa telah menandatangani proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, ketika bertemu Tuanku Nadzaruddin di Port Dickson, pada 3 September lalu, untuk memohon restu.
Ketika itu beliau mendakwa dipaksa untuk menandatangani proklamasi berkenaan, malah turut menzahirkan taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Malah, pada 8 September beliau turut dilaporkan berkata Kerajaan Negeri Sembilan berpendirian bahawa proklamasi tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Oleh itu, beliau berkata ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Namun, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Sembilan kemudian mengeluarkan kenyataan bersama pada 16 September.
Kenyataan itu memaklumkan keputusan kolektif menerusi Mesyuarat Exco pada 15 September, bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz menurut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 bertarikh 19 April 2026 yang ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Yang Empat, adalah sah dan berkuatkuasa.
“Adalah prerogatif mutlak Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos lalu, menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10 (2) UUTKNS 1959,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Mesyuarat Exco juga menegaskan proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang ditandatangani serta dicop mohor Undang Yang Empat juga bertarikh 19 April, adalah teratur dan sah.
“Maka adalah dengan ini diumumkan secara rasmi bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta Kerajaan Negeri Sembilan oleh Undang Yang Empat dan Tuanku Nadzaruddin telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berkuatkuasa serta-merta,” jelas kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, sebuah institusi adat Negeri Sembilan yang mempunyai bidang kuasa khusus dalam perkara berkaitan pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar, menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Kenyataan Setiausaha DKU Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin, bertarikh 17 September itu menyebut, perkara itu selaras dengan UUTKNS 1959.
Katanya, Mesyuarat Exco tidak mempunyai kuasa menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
“Dewan (DKU) menegaskan semula Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua Dewan. Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya dalam kenyataan itu.
Raja Norazli berkata DKU menegaskan semula ketetapannya bahawa proklamasi bertarikh 19 April itu adalah cacat sejak awal, tiada siasatan menurut Perkara X UUTKNS 1959 pernah dilaksanakan, tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi itu tidak memegang jawatan Undang pada tarikh tersebut.
“Dan berikutan keengganan Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Aminuddin Harun) menandatanganinya (proklamasi), fungsi di bawah Perkara X (2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal, “ menurut kenyataan itu.
Datuk Aminuddin dalam kenyataan pada malam 16 September berkata ahli Exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa keputusan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz dan tindakan ahli-ahli Exco mengeluarkan pengumuman penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah satu perbuatan derhaka.
Perkembangan itu juga telah menimbulkan persoalan mengenai keabsahan pelantikan Datuk Ismail dari Umno/Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar yang baru selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, selain keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk PRN diadakan.
Bagaimanapun, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Mohd Tah, berkata tidak timbul sebarang isu mengenainya berikutan empat Undang terbabit konsisten dari 19 April untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar.
“Ketika itu ada kekangan untuk mereka melengkap proses berkenaan (menurunkan Tuanku Muhriz). Jadi, apabila ada kerajaan baru (selepas PRN Negeri Sembilan) dan Menteri Besar baru dilantik, perkara ini mula dilaksanakan.
“Tambahan pula setakat ini tiada pihak yang mencabar perkara ini ke mahkamah, jadi proses (pentadbiran) ini diteruskan seperti biasa. Maksudnya PRN itu sah, pembubaran DUN juga sah, walaupun ada isu,” katanya kepada Berita Harian.
