Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Kerajaan pulih keyakinan pelabur lalui usaha basmi rasuah

Oct 5, 2024 | 4:31 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, komited dalam membasmi rasuah supaya dapat meningkatkan pelaburan baru.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, komited dalam membasmi rasuah supaya dapat meningkatkan pelaburan baru. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Komitmen Kerajaan Madani untuk memerangi rasuah akan memulihkan keyakinan pelabur domestik dan asing, yang bakal membawa kepada peningkatan pelaburan baru.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kebimbangan utama beliau dalam tempoh awal memegang jawatan itu ialah memulihkan reputasi negara terutama berikutan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Dalam tempoh awal, semuanya mengenai perkara itu. Bagaimana untuk menanganinya? Bagaimana dengan apa yang mereka anggap rasuah yang menjadi endemik berdasarkan pengalaman 1MDB dan pelbagai skandal lain?” kata beliau kepada laman CNBC dalam satu temu bual yang dipetik Berita Harian Malaysia (BHM).

Datuk Anwar berkata pelabur domestik dan asing mengiktiraf komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah, walaupun terdapat pengkritik yang menganggapnya terlalu berlebihan.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, menekankan kepentingan menarik pelaburan berimpak tinggi, terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Datuk Anwar mengakui Malaysia mencatatkan peningkatan pelaburan dalam pusat data disebabkan bekalan tenaga dan air yang mudah diakses tetapi menekankan keperluan untuk beralih tumpuan kepada teknologi yang lebih maju untuk meningkatkan status ekonomi negara.

Beliau turut menekankan keperluan merapatkan jurang kemahiran untuk menarik industri bernilai tinggi dengan kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 60,000 jurutera dalam tempoh lima tahun mendatang.

“Universiti, kolej, politeknik serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu bersedia dan berubah dengan mendapatkan institusi pendidikan formal ini untuk bekerjasama dengan sektor swasta,” katanya, merujuk kepada syarikat seperti Infineon yang melatih jurutera untuk mencapai keperluan khusus mereka.

Dalam pada itu, pada satu acara berasingan di Seminar 100 Tahun Za’aba di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, pada 5 Oktober, beliau menambah bahawa tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang telah merompak kekayaan Malaysia di samping menekankan tiada alasan sesetengah orang harus dilepaskan daripada tuduhan rasuah kerana sumbangan mereka kepada negara. – BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg