Pentadbiran mantap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meletakkan Malaysia sebagai tumpuan pelabur teknologi terkemuka dunia yang sehingga kini berjaya menarik nilai pelaburan dianggarkan AS$16.9 bilion ($21.76 bilion).
Datuk Anwar berkata kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan Madani telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.
“Saya menyambut baik pengumuman oleh satu lagi syarikat gergasi teknologi dunia Oracle, terkait pembukaan pusat awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan berjumlah AS$6.5 bilion.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada 2 Oktober.
Justeru, Datuk Anwar berkata adalah penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan itu.
“Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan peluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.
“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi Madani akan dapat dicapai, insya-Allah,” jelasnya.
Syarikat Oracle pada 2 Oktober mengumumkan pihaknya merancang untuk melabur lebih AS$6.5 bilion bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan awannya.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu menjelaskan wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan prasarana dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada Oracle Cloud Infrastructure (OCI).
Pada 1 Oktober, Datuk Anwar merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia membabitkan pelaburan sebanyak AS$2 bilion.
Pusat data yang akan dibina di Elmina Business Park, Selangor, itu akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI serta produk dan perkhidmatan digital lain yang digunakan oleh rakyat dan organisasi di Malaysia pada setiap hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg