Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar lancar pelan ekonomi baru bagi perkasa bumiputera

Aug 20, 2024 | 2:21 PM
Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, berkata Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) tidak bertujuan meminggirkan kaum Cina, India dan juga bumiputera di Sabah dan Sarawak. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 ( PuTERA35) yang baru dilancarkan bertujuan memperkasa bumiputera Malaysia tanpa meminggirkan kaum lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adalah tidak adil untuk membuat tuduhan bahawa inisiatif itu akan meminggirkan kaum lain, kata beliau.

“Sekiranya ada permintaan munasabah daripada pihak lain, kami akan terima. Tetapi tindakan afirmatif bumiputera di negara ini adalah untuk melihat dan memikirkan ketidakadilan yang berlaku, tetapi tidak sekali-kali meminggirkan kaum Cina, India dan juga bumiputera di Sabah dan Sarawak,” tekannya.

Datuk Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada pelancaran ‘PuTERA35’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada 19 Ogos, lapor The Star.

‘PuTERA35’ disokong oleh tiga teras utama, 12 pemacu dan 132 inisiatif komprehensif dalam memajukan dan memperkasakan pembangunan bumiputera.

Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, memberi amaran kepada agensi yang bertanggungjawab memperkasa agenda bumiputera supaya merancang program dengan penuh kebertanggungjawapan bagi mencapai sasaran yang disasarkan.

“Mereka yang ditugaskan untuk memperkasakan agenda bumiputera boleh dianggap pengkhianat besar jika mereka menyebabkan ‘kerosakan’ kepada agensi mereka yang mempunyai kebertanggungjawapan rendah dan menggunakannya untuk memperkayakan diri dan kumpulan mereka.

“Mereka melakukan ini sambil meninggalkan agenda utama mereka, iaitu memartabatkan masyarakat bumiputera,” ujar Datuk Anwar.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Ketua Audit Negara bagi peranan mereka dalam memastikan perbelanjaan kerajaan yang bertanggungjawab.

Beliau berkata pelaksanaan ‘PuTERA35’ akan dipantau rapi bagi memastikan kejayaannya.

Semasa ucapannya, Datuk Anwar juga menggesa agar dihentikan permusuhan politik atau pertikaian berlebihan mengenai kaum, daerah atau wilayah.

Sebaliknya, beliau berkata pelbagai pihak seharusnya mencari penyelesaian bagi menangani semua halangan itu demi kesepakatan rakyat, lapor Berita Harian Malaysia.

“Tidak banyak negara yang mencapai kejayaan seperti kita capai sekarang. Ia bukan urusan Perdana Menteri, Menteri atau Kerajaan Negeri sahaja, tetapi ini urusan semua pekerja, nelayan, pekebun kecil, ia tanggungjawab semua, kerajaan dan swasta.

“Oleh kerana kesepakatan semua, kita mencapai pertumbuhan 5.9 peratus yang jauh lebih baik daripada mana-mana negara Asia,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg